AM

UPSI, INSTUN METERAI MOU PERKASA PENGGUNAAN DRON DI KAMPUS

20/06/2026 12:01 AM

IPOH, 19 Jun (Bernama) -- Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Institut Tanah dan Ukur Negara (INSTUN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkasa penggunaan teknologi dron dalam pengurusan dan pemantauan kampus.

Naib Canselor UPSI Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata pemeteraian MoU itu menyokong usaha universiti meningkatkan kecekapan operasi dan memperkukuh kompetensi warga kampus dalam bidang geospatial.

Beliau berkata kerjasama strategik itu membuka peluang kepada universiti untuk memanfaatkan kepakaran INSTUN dalam bidang ukur, pemetaan dan teknologi geospatial bagi memperluaskan penggunaan dron dalam pelbagai aspek pengurusan kampus.

“UPSI melihat penggunaan teknologi dron sebagai satu pendekatan yang mampu meningkatkan kecekapan pemantauan kampus selain membantu mengurangkan kebergantungan kepada anggota keselamatan bagi tugasan tertentu,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Majlis menandatangani MoU antara UPSI dan INSTUN itu berlangsung di Kampus Sultan Abdul Jalil Shah UPSI hari ini.

Md Amin berkata kerjasama itu juga memberi peluang kepada staf dan pelajar memperoleh latihan serta pendedahan kepada teknologi yang semakin penting dalam era digital.

Menurut Md Amin, pemeteraian MoU itu akan memperluaskan kerjasama dalam bidang penyelidikan geospatial, sistem maklumat geografi (GIS), pemetaan digital, pengurusan tanah dan pembangunan modal insan melalui program latihan, perkongsian kepakaran serta mobiliti staf.

“Selain itu, UPSI turut berpeluang memanfaatkan kemudahan dan fasiliti yang disediakan oleh INSTUN, termasuk kemudahan penginapan bagi menyokong pelaksanaan program akademik, latihan profesional dan persidangan yang melibatkan penyertaan dalam jumlah yang besar.

“Pada masa sama, kedua-dua pihak boleh meneroka peluang mendapatkan geran penyelidikan bersama, menghasilkan penerbitan berimpak tinggi, membangunkan modul latihan profesional dan menganjurkan seminar serta persidangan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah INSTUN Khairin Nazry Karim dalam kenyataan sama berkata kerjasama yang dimeterai itu mencerminkan komitmen kedua-dua institusi untuk memperkasa penggunaan teknologi dron dan pembangunan kompetensi geospatial melalui latihan profesional, perkongsian kepakaran serta pelaksanaan program yang memberi impak kepada pembangunan modal insan negara.

“INSTUN optimis kolaborasi strategik bersama UPSI akan membuka lebih banyak peluang kepada kedua-dua institusi untuk meneroka inovasi dalam bidang dron, pemetaan dan geospatial, sekali gus menyokong keperluan negara terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan