Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Ringgit dijangka diniagakan rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) minggu depan susulan jangkaan berterusan terhadap kemungkinan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed) tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kemungkinan kenaikan Kadar Dana Persekutuan oleh Fed sebanyak 25 mata asas tahun ini dijangka terus menyokong dolar AS dan mempengaruhi pergerakan mata wang serantau termasuk ringgit.
"Minggu depan, kami menjangkakan dinamik yang sama terus berlaku," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pelabur akan memantau rapat data Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan pada 26 Jun, yang merupakan ukuran inflasi pilihan Fed.
“Data inflasi ini dijangka kekal tinggi. Oleh itu, ringgit berkemungkinan dijangka kekal rendah dalam jangka masa terdekat," katanya.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit susut kepada 4.1340/1395 berbanding dolar AS daripada 4.0555/0600 pada minggu lepas.
Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringit susut berbanding pound British kepada 5.4709/4782 daripada 5.4429/4489, dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.5636/5671 daripada 2.5334/5364.
Unit domestik kurang stabil berbanding euro kepada 4.7376/7439 daripada 4.6979/7031.
Ringgit juga diniagakan rendah berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 232.2/232.5 daripada 227.0/227.4 dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2019/2064 daripada 3.1602/1640.
Ringgit rendah berbanding baht Thailand kepada 12.5856/6074 daripada 12.4105/4288, dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.80/6.81 daripada 6.67/6.68.
-- BERNAMA
