BUTTERWORTH, 20 Jun (Bernama) -- Sejurus menamatkan lawatan rasmi ke Turkmenistan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meneruskan jadual padatnya dengan mengadakan lawatan kerja sehari ke Pulau Pinang, bagi menghadiri beberapa program utama termasuk Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dijadual memulakan lawatan di Pulau Mutiara dengan merasmikan pembukaan MKS Instruments Malaysia Sdn Bhd di Bandar Cassia Technology Park, Batu Kawan pada 11 pagi.
Beliau kemudian akan menghadiri Majlis Pecah Tanah Setia Fontaines Industrial Park di Setia Experience Centre, Bandar Setia Fontaines, Kepala Batas pada 1 tengah hari, iaitu projek yang mencerminkan komitmen jangka panjang Setia terhadap pembangunan ekonomi Pulau Pinang dan Koridor Utara.
Pada majlis pecah tanah tersebut, Setia juga bakal melancarkan dua kolaborasi strategik lain dalam kawasan perbandaran Setia Fontaines.
Seterusnya Perdana Menteri akan menghadiri Majlis Kemuncak HAWANA 2026 di Pusat Konvensyen PICCA@ Arena Butterworth pada 3 petang, yang akan menghimpunkan kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri akan menyampaikan Anugerah HAWANA dan Anugerah Khas HAWANA kepada tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada dunia kewartawanan serta pembangunan pemikiran masyarakat, selain dijadual menyerahkan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada pengamal media yang memerlukan.
HAWANA yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bertindak sebagai agensi pelaksana, merupakan platform kemuncak dalam menghargai sumbangan, ketekunan dan profesionalisme pengamal media di Malaysia.
Terdahulu, pesawat yang membawa delegasi Perdana Menteri berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Ashgabat pada 4.45 petang waktu tempatan (7.45 malam waktu Malaysia).
Lawatan rasmi dua hari bermula 18 Jun itu, merupakan kunjungan pertama Anwar ke Turkmenistan sejak dilantik Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada November 2022, atas jemputan Presidennya Serdar Berdimuhamedov.
Sebelum ke Turkmenistan, Anwar berada di Kazan, Russia bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia ke-35, diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
Selepas menyelesaikan lawatan kerja di Pulau Pinang, Perdana Menteri dijadual menghadiri Majlis Makan Malam Himpunan Pertubuhan Lima Generasi (PLG) Malaysia di Negeri Sembilan, pada malam ini.
-- BERNAMA
