KUCHING, 21 Jun (Bernama) -- Penyerahan kuasa kawal selia Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan Sarawak merupakan antara pencapaian signifikan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Beliau berkata langkah itu bukan sahaja mengiktiraf hak Sarawak sebagai rakan pengasas Malaysia, malah membuktikan MA63 mampu dilaksanakan dalam semangat kerjasama yang mewujudkan situasi menang-menang antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Mustapha berkata Pelabuhan Bintulu kini bukan lagi sekadar hab eksport gas asli cecair (LNG) negara, sebaliknya sedang berkembang sebagai pusat perindustrian, logistik dan tenaga hijau yang bakal memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Malaysia serta rantau Asia Pasifik.
“Kedudukan strategik Bintulu, ditambah kelebihan Sarawak yang memiliki sumber tenaga boleh diperbaharui khususnya hidroelektrik, menjadikan kawasan ini semakin menarik kepada pelabur yang kini beralih kepada operasi rendah karbon.
“Perkembangan ini berpotensi menjadikan Sarawak sebagai hab utama industri hijau, tenaga bersih dan pembuatan bernilai tinggi di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata pelaksanaan MA63 tidak seharusnya dilihat sebagai kehilangan kuasa oleh Kerajaan Persekutuan, sebaliknya sebagai pengukuhan Persekutuan Malaysia melalui pengiktirafan terhadap hak, peranan dan potensi sebenar Sabah serta Sarawak sebagai rakan pengasas negara.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai mengulas Majlis Penyerahan Cek Penukaran Status Pelabuhan Bintulu daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri yang berlangsung di Bintulu hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
-- BERNAMA
