DUNIA

24 RAKYAT FILIPINA YANG DITAHAN DI RUSIA PULANG KE TANAH AIR

21/06/2026 05:33 PM

MANILA, 21 Jun (Bernama-PNA) -- Seramai 24 rakyat Filipina yang ditahan di Rusia selama kira-kira sembilan bulan selamat tiba di Filipina awal Ahad selepas Presiden Ferdinand R. Marcos Jr membangkitkan kes mereka secara peribadi kepada Presiden Rusia Vladimir Putin dalam satu pertemuan dua hala di Kazan.

Mereka tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA) dalam dua kumpulan menerusi penerbangan dari Bangkok, Thailand, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Enam daripada mereka tiba sejurus selepas tengah malam menaiki penerbangan Philippine Airlines (PAL) PR737, manakala baki 18 orang lagi mendarat awal Ahad menerusi penerbangan PAL PR733.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Maria Theresa Lazaro dan Setiausaha Pekerja Migran Hans Cacdac hadir menyambut kepulangan mereka.

Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) memaklumkan bahawa proses penghantaran pulang itu dilaksanakan dengan kerjasama pihak berkuasa Rusia serta dibantu oleh Jabatan Pekerja Migran (DMW) dan Pentadbiran Kebajikan Pekerja Luar Negara (OWWA).

Awal minggu ini, Marcos mengumumkan bahawa rakyat Filipina berkenaan akan pulang ke tanah air tidak lama lagi selepas beliau membangkitkan isu itu dalam pertemuan dua hala dengan Putin di luar Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia di Kazan.

Presiden itu turut merakamkan penghargaan kepada Putin dan kerajaan Rusia atas bantuan mereka dalam menyelesaikan isu berkenaan.

Marcos berkata rakyat Filipina itu ditahan di bandar Irkutsk, di tenggara Siberia, selama kira-kira sembilan bulan tanpa sebarang pertuduhan rasmi.

Sebelum ini, pegawai Filipina memaklumkan bahawa laporan menunjukkan mereka mungkin menjadi mangsa sindiket pengambilan pekerja haram dan ditahan kerana disyaki melanggar peraturan imigresen.

Agensi kerajaan berkata bantuan serta sokongan integrasi semula akan diberikan kepada mereka yang pulang, sementara pihak berkuasa meneruskan siasatan terhadap keadaan yang membawa kepada pengambilan dan perjalanan mereka ke Rusia.

-- BERNAMA-PNA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan