AM

MALAYSIA, CHINA PERKUKUH KERJASAMA STI PACU PENGKOMERSIALAN INOVASI - MOSTI

22/06/2026 03:48 PM

PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Malaysia dan China komited memperkukuh kerjasama dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) bagi memperluas peluang pengkomersialan teknologi serta memastikan hasil inovasi dapat diterjemahkan kepada impak ekonomi yang mampan.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan memaklumkan komitmen itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Bersama (JCM) Keempat Malaysia-China dalam Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi yang dipengerusikan Menterinya Datuk Chang Lih Kang bersama wakil China Lin Xin, hari ini.

MOSTI memaklumkan kedua-dua negara turut bersetuju memperat kerjasama dalam bidang strategik termasuk kecerdasan buatan (AI),  penjagaan kesihatan, tenaga hijau, teknologi bahan termaju, teknologi maklumat angkasa dan sains dan teknologi untuk pembasmian kemiskinan.

"MOSTI berharap agar kerjasama ini akan memperluas peluang pengkomersialan bagi memastikan inovasi diterjemahkan kepada impak ekonomi yang mampan selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN)," maklum kenyataan itu.

Menurut MOSTI, antara agenda yang diketengahkan dalam JCM ialah pertukaran dasar STI, kerjasama pemindahan teknologi dan pengkomersialan hasil penyelidikan serta perkembangan program dua hala yang sedang dilaksanakan.

Antara program dua hala utama Malaysia-China ialah Program Penyelidikan Bersama (Siri Kedua) yang membiayai lapan projek penyelidikan Malaysia dalam bidang AI, teknologi hijau melibatkan penyimpanan tenaga, bioteknologi khususnya vaksin manusia, teknologi angkasa lepas dan teknologi bahan termaju.

MOSTI memaklumkan mesyuarat itu turut meneliti kemajuan Program Pertukaran Kepakaran Malaysia-China (Siri Pertama) yang melibatkan 10 penyelidik Malaysia dalam bidang teknologi kritikal termasuk AI, teknologi hijau (penyimpanan tenaga) dan teknologi bahan termaju.

Selain itu, kedua-dua negara turut membincangkan pelaksanaan Program Makmal Bersama Malaysia-China dalam Teknologi Baharu Muncul yang akan memberi fokus kepada bidang AI, teknologi blok rantai (blockchain), bioteknologi, tenaga boleh baharu dan teknologi bahan termaju dengan penglibatan ahli akademik, industri serta komuniti penyelidikan dari kedua-dua negara.

Bersempena dengan mesyuarat itu, MOSTI melalui Akademi Sains Malaysia juga mengumumkan pemilihan 10 penyelidik Malaysia bagi menyertai Program Pertukaran Kepakaran Malaysia-China (MSE) yang akan menempatkan mereka selama enam bulan di institusi penyelidikan, universiti dan syarikat terpilih di China.

"Program ini bertujuan memperkukuh kapasiti tempatan, diplomasi sains, memperluas jaringan penyelidikan dua hala serta membina keupayaan negara dalam bidang teknologi strategik dalam memperkasakan agenda STI negara," maklum kenyataan itu.

Menurut MOSTI, mesyuarat JCM itu merupakan platform utama bagi memperkukuh agenda kerjasama dua hala dalam bidang STI berdasarkan Perjanjian Kerjasama Sains, Teknologi dan Inovasi yang dimeterai kedua-dua negara pada Oktober 2013.

Mesyuarat itu juga merupakan susulan daripada lawatan rasmi Presiden China Xi Jinping ke Malaysia pada 2025 yang menyaksikan pemeteraian dua Memorandum Persefahaman (MoU) baharu iaitu MoU mengenai sokongan bersama penubuhan makmal dalam bidang teknologi baharu serta MoU mengenai kerjasama dalam Aplikasi Sistem Navigasi Satelit Global BeiDou.

-- BERNAMA 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan