AM

RUU JENAYAH SIBER 2026 DIBENTANG UNTUK BACAAN KALI PERTAMA, PERKUKUH KESELAMATAN DIGITAL

22/06/2026 03:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Rang Undang-Undang Jenayah Siber 2026 bagi memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bacaan kali kedua dan ketiga pada 1 Julai ini.

Beliau berkata pada masa kini, ancaman jenayah siber bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem komputer dan kecurian data, malah turut merangkumi kecurian identiti, penipuan dalam talian, eksploitasi dan serangan perisian tebusan (ransomware), serta penyalahgunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

"Justeru, RUU Jenayah Siber 2026 ini adalah penting bagi mencegah dan memerangi jenayah siber yang semakin kompleks," katanya dalam kenyataan selepas pembentangan RUU itu hari ini.

Ahmad Zahid berkata RUU itu antara lain bertujuan memansuhkan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) bagi memastikan Malaysia dapat memenuhi obligasi antarabangsa di bawah Konvensyen Budapest (Council of Europe Convention on Cybercrime) serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Menentang Jenayah Siber.

“RUU Jenayah Siber 2026 ini akan memperuntukkan kuasa kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan jenayah siber dan dikawal selia oleh Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri (NACSA, MKN JPM),” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata RUU itu mengandungi lapan Bahagian dan 61 Fasal yang akan memperuntukkan kuasa kawal selia serta penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah siber yang lebih kompleks.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yakin penggubalan RUU itu akan menambah baik ekosistem keselamatan ruang siber negara, sekali gus menjamin persekitaran digital lebih selamat, terpelihara dan dipercayai.

"Melalui kerangka perundangan yang lebih mampan nanti, ia bukan sahaja akan melindungi rakyat secara tuntas, tetapi juga menyokong pertumbuhan ekonomi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan daya saing Malaysia di peringkat serantau dan global," katanya.

Sementara itu, naskah RUU yang dipaparkan di portal Parlimen hari ini memaklumkan RUU itu memperuntukkan 61 Fasal berkaitan jenis jenayah siber serta hukuman membabitkan kesalahan mengakses komputer secara tidak sah dengan tujuan melakukan kesalahan, pemalsuan berkaitan komputer dan fraud (penipuan) berkaitan komputer dan kesalahan berkaitan perkhidmatan identiti digital negara.

Selain itu, RUU itu turut menggariskan kesalahan dan cadangan hukuman bagi komunikasi salah, kecurian identiti, penghantaran kandungan yang dijana atau dimanipulasi dengan menggunakan sistem komputer dan penyebaran imej intim.

Menurut RUU itu, Fasal 10 mencadangkan bahawa sesiapa yang dengan sengaja mengakses sistem komputer tanpa kebenaran atau tanpa sebab sah boleh dikenakan tindakan dan didapati bersalah, boleh didenda hingga RM100,000 atau dipenjarakan maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Fasal 13 pula melarang seseorang daripada merosakkan, memadam, mengubah atau menghalang akses kepada data komputer tanpa kebenaran atau sengaja dengan hukuman denda hingga RM100,000, dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya.

“Fasal 16 memperuntukkan kesalahan memalsukan data komputer, termasuk memasukkan, mengubah, memadam atau menyembunyikan data tanpa kebenaran sehingga menghasilkan data palsu yang bertujuan dianggap sah dan digunakan bagi tujuan undang-undang.

“Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh didenda hingga RM500,000 atau dipenjara hingga tujuh tahun, atau kedua-duanya sekali bagi kes melibatkan cagaran berharga, manakala bagi kes lain boleh didenda sehingga RM300,000 atau dipenjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” menurut RUU itu. 

Sementara itu, Fasal 19 mengenai kesalahan mendedahkan kata laluan identiti digital negara atau memberikan akses kepada pihak lain dengan mengetahui atau mempunyai alasan munasabah bahawa akses tersebut akan digunakan untuk melakukan atau memudahkan sesuatu kesalahan yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM100,000 atau dipenjara hingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Fasal 24 pula bertujuan mengadakan peruntukan bagi kesalahan menyebarkan imej intim mana-mana orang dengan menghantar, mengedar, menyiarkan, menjual atau menawarkan untuk jualan atau selainnya.

“Jika disabitkan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM3000,000 atau kedua-duanya.

“Fasal ini juga bertujuan mengadakan peruntukan bagi hukuman yang dinaikkan jika kesalahan di bawah fasal ini dilakukan dengan niat untuk mendatangkan malu atau menyebabkan kemudaratan kepada, atau untuk memaksa atau mengugut, orang yang digambarkan dalam imej intim itu,” menurut RUU itu.

-- BERNAMA 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan