AM

ZAPAR CARE TOUR TINGKAT KUTIPAN ZAKAT LEBIH 30 PERATUS, TARIK PEWAKAF BAHARU

22/06/2026 09:01 PM

IPOH, 22 Jun (Bernama) -- Program ZAPAR Care Tour (ZACT) anjuran Zakat Perak Al-Ridzuan (ZAPAR) berjaya meningkatkan pembayaran zakat lebih 30 peratus dalam kalangan peserta tahun lepas, selain menarik pewakaf baharu termasuk penyumbangan sebidang tanah bernilai ratusan ribu ringgit kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Pengurus Besar ZAPAR Ahmad Nazim Md Tajuri berkata program yang memasuki tahun kedua itu memberi peluang kepada pembayar zakat dan pewakaf melihat sendiri proses agihan zakat kepada golongan asnaf di Perak.

"Kita dapati peserta yang menyertai program tahun lepas meningkatkan bayaran zakat mereka berbanding sebelum ini, malah ada menggandakan jumlah bayaran hingga tiga atau empat kali ganda selepas melihat sendiri kesan bantuan yang disalurkan kepada asnaf.

"Selain itu, kita turut menerima sumbangan aset wakaf berupa sebidang tanah yang diwakafkan kepada MAIPk hasil pendedahan diberikan menerusi program tersebut," katanya kepada pemberita selepas program ZACT 2.1 (Ipoh) di sini hari ini.

Beliau berkata program berkenaan bertujuan merapatkan hubungan antara ZAPAR, pembayar zakat dan pewakaf serta memberi pemahaman lebih jelas mengenai pengurusan kutipan dan agihan zakat serta wakaf di Perak.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Nazim berkata ZAPAR kini merupakan satu-satunya agensi rasmi yang menguruskan kutipan zakat dan wakaf tunai bagi negeri Perak sebelum diserahkan kepada MAIPk secara harian untuk tujuan agihan zakat dan pembangunan projek wakaf.

Katanya, penggunaan aplikasi MAIPk Bestari juga terus diperkasakan sebagai platform digital utama bagi urusan berkaitan zakat dan bantuan.

"Aplikasi ini yang memasuki tahun kedua penggunaannya bagi pembayaran zakat fitrah kini turut membolehkan orang ramai membuat permohonan bantuan secara dalam talian serta pembayaran wakaf secara berjadual.

"Pada masa hadapan, kita merancang memperluaskan fungsi aplikasi ini supaya semua jenis bayaran zakat termasuk zakat harta dapat dibuat sepenuhnya melalui MAIPk Bestari," katanya.

Katanya, hebahan program dan pendedahan mengenai agihan zakat dilaksanakan turut menarik lebih ramai pembayar zakat yang sebelum ini tidak menunaikan zakat di Perak untuk mula berbuat demikian di sini.

ZAPAR akan meneruskan Program ZACT pada masa akan datang dengan melibatkan lebih ramai pembayar zakat sedia ada serta pembayar baharu bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat dan wakaf dalam membantu pembangunan ummah, katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan