KOTA KINABALU, 22 Jun (Bernama) -- Daerah Nabawan kini memiliki bangunan Pusat Tingkatan Enam pertamanya sekali gus menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha memperkukuh pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman Sabah.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan berkata prasarana sekolah yang telah lama dinantikan itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan akses pendidikan lebih berkualiti kepada pelajar di daerah berkenaan.
“Dengan adanya bangunan Pusat Tingkatan 6 dilengkapi pelbagai kemudahan khas untuk pelajar dan guru, impian saya untuk membangunkan pendidikan bangsa dan daerah di Parlimen Pensiangan kini semakin menjadi realiti,” katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya, hari ini.
Nabawan merupakan antara daerah dalam Parlimen Pensiangan yang terletak di Selatan Sabah kira-kira 179 kilometer dari Kota Kinabalu.
Arthur berkata membangunkan kawasan pedalaman di Sabah khususnya Pensiangan bukanlah suatu tugas mudah kerana ia memerlukan perancangan rapi serta pelaksanaan pelan tindakan jangka panjang tersusun.
“Perancangan pelan pembangunan ini bermula dengan rangkaian jalan raya utama lebih baik sehingga ke Pagalungan-Pensiangan dan ke sempadan Kalimantan, Indonesia, selain pembangunan 55 menara telekomunikasi, sebuah kilang kopi di Sapulut, kemudahan prasarana ekonomi dan pendidikan,” katanya.
Dalam sektor pendidikan pula Arthur berkata tiga sekolah baharu sudah siap dibina iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trusmadi, Sekolah Kebangsaan (SK) Inandung dan SK Simbuan, manakala empat lagi sedang dalam pembinaan iaitu SK Rancangan Belia Tiulon, SK Ambual, SMK Dalit dan SK Pensiangan.
-- BERNAMA
