AM

PROGRAM ADVOKASI TINGKAT KESEDARAN KANAK-KANAK LAPOR PENDERAAN - JKM

22/06/2026 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan kanak-kanak untuk melaporkan kes penderaan, buli dan pengabaian menerusi Talian Kasih 15999 menyumbang kepada pertambahan laporan yang diterima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak JKM Selangor Roziah Osman berkata peningkatan laporan itu mencerminkan keberkesanan program advokasi perlindungan kanak-kanak yang dilaksanakan dalam memberi pendedahan kepada mereka tentang saluran untuk mendapatkan bantuan.

"Kes ini semakin banyak dilaporkan apabila kita membuat program advokasi yang bukan sahaja melibatkan kes buli tetapi kes kanak-kanak yang memerlukan perlindungan.

"Kalau kita lihat, peningkatan itu berlaku apabila kanak-kanak sendiri sudah pandai membuat laporan melalui Talian Kasih," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen ‘Safe Child, Strong Nation’ anjuran Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM) di Seri Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata secara purata pihaknya menerima antara 40 hingga 50 laporan sebulan melalui Talian Kasih membabitkan pelbagai isu berkaitan kanak-kanak termasuk penderaan, pengabaian dan hak penjagaan.

Sehubungan itu, Roziah berkata, JKM Selangor menyasarkan program advokasi itu diperluaskan ke lebih 500 pusat tahfiz dan sekolah agama berasrama di negeri tersebut bermula Julai ini.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan kanak-kanak mengenai hak mereka serta saluran yang boleh digunakan untuk mendapatkan bantuan sekiranya berdepan sebarang bentuk penderaan atau penganiayaan.

Katanya, pendekatan menyasarkan pelajar sekolah agama dan pusat tahfiz bukan sesuatu yang baharu kerana program berkenaan telah dimulakan secara rintis tahun lalu dengan penglibatan beberapa sekolah agama di negeri itu.

“Usaha itu diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran mengenai hak kanak-kanak serta menggalakkan mereka tampil mendapatkan bantuan sekiranya menjadi mangsa atau mengetahui berlaku sebarang bentuk penderaan,” kata Roziah.

Sementara itu, Pengasas dan Presiden CPSM, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff berkata lebih ramai mangsa dan keluarga kini berani tampil membuat laporan kerana mengetahui terdapat sokongan daripada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai agensi berkaitan.

Beliau turut mencadangkan setiap sekolah mempunyai seorang guru khusus yang bertanggungjawab terhadap kebajikan dan keselamatan kanak-kanak bagi mengenal pasti lebih awal sebarang petunjuk penderaan atau masalah yang dihadapi murid.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan