AM

39,000 TAN SISA SEHARI, KEMPEN KITAR SEMULA DIDIK ORANG RAMAI SISA BUKAN SEKADAR SAMPAH

22/06/2026 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Lebih 39,000 tan sisa pepejal dikumpul setiap hari di seluruh negara yang sebahagian besarnya berakhir di tapak pelupusan sampah. 

Setiausaha Bahagian Kemampanan Bandar Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Rizawati Abdul Kadir berkata kebanyakan sisa pepejal itu boleh dikitar semula dengan mengasingkannya mengikut kategori seperti plastik, kertas, kaca dan logam.

“Jadi kita (KPKT) nak ubah minda masyarakat bahawa sisa bukan sekadar sampah, tetapi sisa ini adalah sumber yang boleh dipulihkan dan dimanfaatkan semula bagi menyokong ekonomi negara,” katanya semasa menjadi tetamu pada Program Fokus 30: Ekonomi Kitaran bertajuk “Sisa Bukan Lagi Sampah” terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama hari ini.

Sehubungan itu, katanya, KPKT melaksanakan Kempen Kitar Semula Kebangsaan (KKSK) 2026 sebagai inisiatif berskala besar yang menghimpunkan kerjasama daripada semua pihak untuk mempergiat aktiviti pengasingan, kutipan dan kitar semula sisa pepejal.

“Selain melestarikan bekalan bahan mentah industri tempatan, kempen ini juga bertujuan mendidik masyarakat membudayakan pengasingan sisa bersih sejak peringkat isi rumah.

“Ia sekali gus memberi kesedaran bahawa sisa yang diurus dengan betul mempunyai nilai pasaran tinggi untuk dijana sebagai pendapatan alternatif,” katanya.

Bagi memperluas amalan kitar semula dalam kalangan rakyat, Rizawati berkata KPKT sedang menggalakkan penyediaan lebih banyak kemudahan pengumpulan bahan kitar semula di lokasi strategik.

Beliau berkata kerajaan secara dasarnya turut bersetuju mewajibkan penyediaan pusat kitar semula di pusat beli-belah sebagai antara syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis di bawah pihak berkuasa tempatan.

“Pewujudan fasiliti ini akan memudahkan orang ramai menghantar bahan kitar semula ketika berkunjung ke pusat beli-belah, selaras dengan konsep ‘Shopping Sambil Settle Sampah’,” katanya.

Rizawati turut mengajak orang ramai untuk hadir ke Majlis Pelancaran KKSK 2026 di Wow Plaza, Lalaport Bukit Bintang, di sini pada 24 Jun ini bagi bersama-sama menyokong usaha memperkasakan amalan kitar semula dan kelestarian alam sekitar.

--BERNAMA

 

 

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan