PUTRAJAYA, 22 Jun (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM1.08 bilion kepada Johor bagi pelaksanaan kerja menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara infrastruktur, kemudahan awam serta perumahan rakyat dalam tempoh empat tahun ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam satu kenyataan hari ini berkata jumlah peruntukan yang signifikan itu membuktikan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan yang seimbang dan inklusif dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Johor tanpa mengira latar belakang atau kawasan.
Beliau berkata peruntukan tersebut adalah hasil daripada pendekatan turun padang yang diamalkan KPKT menerusi Program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan secara konsisten setiap tahun bagi mengenal pasti keperluan sebenar rakyat dan menyelesaikan isu-isu setempat secara langsung.
“Dalam tempoh empat tahun. KPKT telah mengadakan lebih daripada enam lawatan kerja rasmi ke negeri Johor.
“Setiap lawatan bukan sekadar memenuhi jadual rasmi, tetapi menjadi platform untuk kami mendengar sendiri suara rakyat, meneliti masalah yang dihadapi, merangka penyelesaian yang berkesan serta memantau sendiri proses penyediaan bantuan,” katanya.
Nga berkata kejayaan tersebut turut mencerminkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor dalam memastikan setiap projek yang dirancang dapat dilaksanakan dengan cekap dan memberi impak maksimum kepada rakyat.
Katanya, Johor kini berada di landasan pertumbuhan yang amat strategik sebagai pintu ekonomi utama negara sekali gus memerlukan infrastruktur bandar dan perumahan yang berkualiti untuk menyokong pembangunan masa hadapan.
“Apabila Johor terus berkembang sebagai hab pelaburan dan ekonomi serantau, rakyat juga akan dapat menikmati kemudahan awam, kawasan perumahan dan persekitaran bandar yang setanding dengan aspirasi pembangunan negeri,” katanya.
Sementara itu beliau berkata Program Sentuhan Kasih KPKT Johor 2026 yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis ini akan melibatkan 13 lokasi.
Program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kementerian untuk mendekati rakyat, menyelesaikan isu setempat dan memastikan setiap peruntukan kerajaan benar-benar memberi manfaat kepada komuniti yang memerlukan.
-- BERNAMA
