EKONOMI

LEDAKAN AI, PERMINTAAN TENAGA PACU LONJAKAN PERDAGANGAN MALAYSIA PADA JAN-MEI 2026

22/06/2026 05:46 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Permintaan global yang kukuh terhadap infrastruktur kecerdasan buatan (AI) dan produk tenaga terus menyokong pertumbuhan perdagangan Malaysia dalam tempoh lima bulan pertama 2026, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Berdasarkan data perdagangan Malaysia yang dikeluarkan Jumaat lepas, jumlah perdagangan meningkat 18.3 peratus tahun ke tahun kepada RM1.455 trilion bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, dengan eksport menambah 24.3 peratus kepada RM793.84 bilion manakala import menokok 11.8 peratus kepada RM661.07 bilion.

MATRADE menjelaskan prestasi perdagangan yang kukuh itu melonjakkan lebihan dagangan Malaysia kepada RM132.77 bilion, catatan yang belum pernah direkodkan sebelum ini, bagi tempoh lima bulan itu, iaitu hampir tiga kali berbanding RM46.93 bilion yang direkodkan dalam tempoh sama 2025.

Mengulas prestasi perdagangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Abu Bakar Yusof berkata eksport elektrik dan elektronik (E&E) sahaja meningkat 39.7 peratus kepada RM382.89 bilion, didahului oleh lonjakan 61.6 peratus dalam eksport semikonduktor khusus untuk infrastruktur AI global.

“Produk petroleum dan gas asli cecair (LNG) masing-masing mencatat pertumbuhan sebanyak 22.9 peratus dan 1.5 peratus, disokong oleh harga tenaga global yang tinggi susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.

“Selain itu, eksport komponen automotif bernilai tinggi dan pertumbuhan tinggi serta kenderaan elektrik (EV dan EV hibrid)) melonjak 115.8 peratus, membuktikan Malaysia berjaya meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai global,” katanya.

MATRADE menjelaskan Malaysia terus mempelbagaikan jejak eksport ke pasaran yang sedang pesat membangun dan bukan tradisional, dengan eksport ke Amerika Latin, Asia Tengah, Oceania, Afrika serta Eropah Tengah dan Timur mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan.

Eksport ke Mexico, Brazil, Uzbekistan, Croatia, Bulgaria dan Hungary masing-masing meningkat sebanyak 46.2 peratus, 18.5 peratus, 33.8 peratus, 117.9 peratus, 106.9 peratus dan 64.6 peratus, tambah agensi itu.

Menurutnya eksport ke pasaran yang lebih kecil juga merekodkan peningkatan ketara, didahului Sudan dengan pertumbuhan 264.0 peratus, diikuti Liberia sebanyak 140.2 peratus dan Republik Demokratik Congo sebanyak 137.8 peratus.

Sementara itu, Abu Bakar berkata kedudukan Malaysia turut meningkat ke tangga ke-15 dalam Ranking Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan Antarabangsa (IMD) 2026, berbanding kedudukan ke-23 pada tahun sebelumnya.

“Berdasarkan prestasi perdagangan yang belum pernah dicatatkan sebelum ini dan peningkatan ranking daya saing yang dicapai dalam tempoh yang sama, ini membawa mesej yang jelas bahawa Malaysia semakin menjadi destinasi perniagaan yang boleh dipercayai dan lebih cekap serta semakin mendapat perhatian dunia,” katanya.

Beliau berkata MATRADE akan terus memantau perkembangan semasa di Asia Barat bagi menangani gangguan bekalan global yang dihadapi oleh peserta industri dan pengeksport di Malaysia.

“Melalui 47 pejabat perdagangan MATRADE di luar negara serta Pasukan Petugas Daya Tahan Perdagangan yang telah ditubuhkan, kami akan terus berbincang dengan pengeksport, pihak berkepentingan yang relevan dan peserta industri tempatan bagi memudah cara akses pasaran.

“Ini bagi memastikan gangguan yang berlaku dapat diatasi dengan berkesan serta perdagangan dan eksport negara terus berkembang,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan