DUNIA

NIAGA HADAPAN EMAS DITUTUP TINGGI DIDORONG SENTIMEN PASARAN LEBIH POSITIF

22/06/2026 08:12 PM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin apabila sentimen pasaran bertambah baik susulan tanda-tanda kemajuan dalam perjanjian damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran serta harga minyak yang terus susut.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata emas kini diniagakan dengan harga yang lebih positif pada awal minggu ini, kekal menghampiri paras US$4,200 setiap auns troy.

Beliau berkata kesan daripada kejutan pendirian Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) yang cenderung terhadap kadar faedah tinggi minggu lepas mula berkurangan dan membolehkan emas kembali stabil selepas mengalami tekanan baru-baru ini.

“Oleh itu, ujian penting bagi pasaran kini ialah laporan inflasi Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat ini.

“Bacaan yang lebih tinggi daripada jangkaan mungkin menimbulkan semula kebimbangan bahawa Rizab Persekutuan AS (Fed) mungkin perlu mengekalkan kadar faedah yang tinggi untuk tempoh yang lebih lama. Ini meningkatkan hasil bon AS dan mengukuhkan dolar AS, yang boleh memberi tekanan baharu kepada harga emas,” katanya kepada Bernama.

Pada akhir dagangan, kontrak bagi serahan Jun 2026 meningkat kepada US$4,209.30 setiap auns troy daripada US$4,170.80 ketika ditutup pada Jumaat lepas manakala Julai 2026 naik kepada US$4,223.70 setiap auns troy daripada US$4,184.90.

Ogos 2026 meningkat kepada US$4,244.80 setiap auns troy daripada US$4,205.50.

September 2026 turut meningkat kepada US$4,249.00 setiap auns troy daripada US$4,210.00 pada Jumaat lepas manakala Oktober 2026 dan Disember 2026 masing-masing pada US$4,229.10 setiap auns troy.

Jumlah dagangan turun kepada lima lot daripada 21 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka susut kepada 71 kontrak daripada 87 kontrak.

Sementara itu, harga emas fizikal ditetapkan pada US$4,150.90 setiap auns troy berdasarkan penetapan petang oleh Persatuan Pasaran Jongkong London pada 19 Jun, 2026.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan