AM

FAHMI UCAP TAHNIAH KEPADA KETUA PENGARAH, TIMBALAN KETUA PENGARAH BAHARU JAPEN

22/06/2026 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil hari ini mengucapkan tahniah kepada Erwin Khairul Ahmad atas pelantikan sebagai Ketua Pengarah Jabatan Penerangan yang baharu.

Menerusi hantaran di laman Facebook hari ini, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Wan Saidatul Shafina Mohd Amin yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital) Jabatan Penerangan.

“Semoga terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, kebijaksanaan dan semangat yang tinggi, sekali gus memperkukuh peranan Jabatan Penerangan sebagai medium penyampaian maklumat berkesan kepada rakyat,” katanya.

Fahmi turut merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Julina Johan di atas jasa, bakti dan sumbangannya sepanjang menerajui jabatan berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan watikah penempatan baharu kepada Erwin Khairul dan Wan Saidatul Shafina yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Sementara itu, Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dalam kenyataan malam ini memaklumkan Erwin Khairul, 50, ialah lepasan Ijazah Sarjana Muda Sebaran Am (Kepujian) (Penyiaran) dan Sarjana Sastera Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM) serta memulakan perkhidmatan dalam sektor awam sebagai pegawai penerangan pada 2001.

Mempunyai pengetahuan luas dalam bidang pengurusan isu, gerak saraf dan komunikasi media siber, beliau turut menyandang pelbagai jawatan penting antaranya sebagai Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu JAPEN dan Timbalan Pengarah, Bahagian Media Siber JAPEN.

Selain itu, Erwin Khairul pernah memegang jawatan sebagai Pengarah JAPEN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Setiausaha Bahagian Komunikasi Strategik di Kementerian Komunikasi dan Timbalan Ketua Pengarah (Kandungan Digital), JAPEN.

Beliau juga merupakan Naib Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), sebuah badan peneraju yang berperanan dalam memartabatkan profesionalisme industri perhubungan awam di Malaysia.

“Dengan pengalaman signifikan 25 tahun dalam bidang penerangan dan komunikasi strategik, diyakini pelantikan beliau dapat memantapkan peranan JAPEN sebagai peneraju komunikasi kerajaan yang lebih cemerlang dan berwibawa,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan