AM

PELANCONGAN PELAYARAN BUKA PASARAN ANTARABANGSA BUAT PRODUK TEMPATAN PERAK

22/06/2026 09:46 PM

LUMUT, 22 Jun (Bernama) -- Industri pelancongan pelayaran berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu apabila kapal persiaran Star Dream Cruise dari Singapura singgah di perairan Pulau Pangkor hari ini, sekali gus membawa limpahan rezeki kepada peniaga, pengusaha pengangkutan dan pemain industri pelancongan di koridor Manjung-Sitiawan. 

Perkara itu diakui Pengurus Pemasaran Sarang Burung Walet Jess Lum dengan berkata pihaknya mengambil peluang untuk mempromosikan produk tempatan dan jenama syarikat itu kepada para pelancong berkenaan. 

“Sarang burung walet antara produk premium Malaysia yang mempunyai permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat Cina, selain Singapura berfungsi sebagai hab penting untuk memperluas pasaran ke negara lain. 

“Ini peluang terbaik untuk memperkenalkan produk yang mewakili Sitiawan dan Perak. Apabila pelancong mengenali produk ini, mereka mungkin akan datang ke bilik pameran kami di Sitiawan untuk mengetahui lebih lanjut atau membuat pembelian,” katanya ketika ditemui di Kompleks Jeti Marina Island di sini.

Peniaga durian Ling Wei Yao, 33, dari Sitiawan berkata ketibaan Star Dream Cruise itu mampu membuka peluang pendapatan baharu kepada peniaga kecil. 

“Saya kali pertama menyertai program ini dengan menjual pelbagai jenis durian premium termasuk Musang King dan Black Thorn selain air kelapa dan pencuci mulut berasaskan kelapa.

“Selain meluangkan masa di sekitar kompleks jeti ini, ada pelancong yang berjalan-jalan dengan menaiki bas di sekitar Manjung dan Sitiawan. Ada juga yang menikmati durian di premis kami atau membawanya pulang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Group Marina Island Ding Mei Looi berkata persinggahan kapal persiaran itu masih dalam fasa percubaan, namun sambutan positif daripada pelancong dan peniaga tempatan menunjukkan potensi besar sektor itu untuk berkembang di daerah berkenaan.

“Pengalaman daripada persinggahan pertama dan kedua kapal ini banyak membantu pihak kami untuk memahami kehendak pelancong antarabangsa, khususnya dari Singapura yang juga majoriti penumpang,” katanya.

Ding berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan lebih banyak lokasi lawatan di sekitar Manjung selain mewujudkan bazar khas yang menghimpunkan produk tempatan bagi memudahkan pelancong mendapatkan cenderamata dan makanan tradisional.

Beliau berkata tempoh lawatan yang singkat, iaitu kira-kira enam jam memerlukan destinasi pelancongan yang dekat, mudah diakses dan mampu memberi pengalaman unik kepada pelawat.

Sementara itu, Pengarah Pan Silver Ferry Ling Hor berkata ketibaan kapal persiaran itu membuka peluang untuk meletakkan Perak dalam peta pelancongan pelayaran serantau.

Beliau berkata selama ini persinggahan kapal persiaran lebih sinonim dengan destinasi seperti Pulau Pinang, Melaka dan Pelabuhan Klang, namun Marina Island dan Pulau Pangkor kini berpeluang muncul sebagai pintu masuk baharu pelancong antarabangsa ke Perak.

“Kami berharap lebih banyak pihak dapat bekerjasama bagi memastikan kemudahan, proses imigresen dan pengalaman pelancong berada pada tahap terbaik supaya syarikat pelayaran terus memilih destinasi ini pada masa hadapan,” katanya.

Kira-kira 1,500 pengunjung dari Singapura turun di Kompleks Jeti Marina Island dan Pulau Pangkor menerusi persinggahan Star Dream Cruise buat kali kedua dengan ketibaan kali pertama adalah pada awal bulan ini.

Program pelancongan pelayaran itu adalah kerjasama antara Tourism Perak Management Berhad, Persatuan Pembangunan Mampan Pelancongan Manjung Perak, Marina Island dan Pan Silver Ferry.

Selain melawat gerai di jeti, para pelancong turut dibawa ke Pulau Pangkor, Kuil Tua Pek Kong, Hasil Laut Jamilah, seni mural jalanan dan pasar raya AEON Seri Manjung. 

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan