KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan menilai dan mengkaji kesesuaian pelaksanaan biodiesel B50 berikutan wujud keperluan menaik taraf depoh pengadunan sedia ada secara menyeluruh yang dijangka melibatkan kos tinggi, menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi.
Menurut kementerian, dalam menilai keupayaan negara untuk menyokong peluasan penggunaan biodiesel, data imbangan bekalan minyak sawit bagi 2025 digunakan sebagai rujukan.
“Data menunjukkan bahawa Malaysia mempunyai asas bekalan yang kukuh dan jumlah bekalan minyak sawit dianggarkan mencecah 22.76 juta tan terdiri daripada stok awal sebanyak 1.71 juta tan, pengeluaran (20.28 juta tan) dan import (0.77 juta tan).
“Daripada jumlah bekalan tersebut, 15.27 juta tan diperuntukkan bagi memenuhi permintaan eksport global manakala 4.43 juta tan digunakan untuk menampung keperluan domestik merentasi pelbagai sektor ekonomi termasuk sektor biodiesel,” menurutnya dalam jawapan bertulis yang dikeluarkan di laman sesawang Parlimen pada Isnin.
Berdasarkan kedudukan bekalan tersebut, peluasan pelaksanaan biodiesel sehingga B30 dijangka tidak menjejaskan bekalan eksport minyak sawit negara.
“Ini kerana penggunaan minyak sawit yang diperlukan untuk menyokong pelaksanaan B30 dianggarkan hanya kira-kira 1.60 juta tan setahun, iaitu bersamaan kira-kira 7.0 peratus daripada keseluruhan bekalan minyak sawit negara,” katanya.
Menurut kementerian, peratusan itu secara relatifnya adalah kecil berbanding jumlah bekalan yang tersedia sekali gus membuktikan bahawa negara masih mempunyai kapasiti yang mencukupi untuk memenuhi keperluan pasaran eksport dan penggunaan domestik secara serentak.
“Oleh itu, peluasan penggunaan biodiesel dapat dilaksanakan tanpa menjejaskan keupayaan negara untuk memenuhi permintaan eksport minyak sawit,” menurutnya.
Pada masa ini, pelan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan penggunaan biodiesel adalah sehingga B30 dan ia telah dinyatakan dalam Dasar Agrikomoditi Negara.
Ia disokong dasar lain seperti Dasar Pengangkutan Negara dan Pelan Peralihan Tenaga Negara apabila Program Biodiesel Negara akan diperluaskan secara berfasa ke seluruh Malaysia kepada B30 menjelang 2030 bagi sektor pengangkutan darat.
-- BERNAMA
