AM

BANTUAN GAZA: AKAUN AMANAH DIURUS SECARA TELUS - MOHAMAD

23/06/2026 01:27 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Kementerian Luar memberi jaminan bahawa Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) diurus secara telus dan tertakluk kepada mekanisme pemantauan yang ketat, termasuk diaudit oleh Ketua Audit Negara serta dibentangkan secara berkala kepada Jemaah Menteri.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata apa-apa dakwaan berhubung pengurusan dana berkenaan adalah tidak tepat kerana AAKRP merupakan akaun amanah rasmi kerajaan dan bukannya akaun yang diuruskan secara bebas oleh mana-mana pertubuhan.

Beliau berkata Kementerian Luar turut memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar sampai kepada sasaran.

“Sebab itu kita bagi terus menerusi saluran seperti Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), Jordan Hashemite Charity Organization (JHCO), Bulan Sabit Merah Palestin dan Hospital King,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai penyaluran dana bantuan kepada rakyat Palestin.

Mohamad berkata Malaysia juga menghantar bantuan makanan, bekalan perubatan dan peralatan kesihatan kepada Gaza, dengan sebahagian penghantaran yang sebelum ini tertangguh kini dapat disalurkan susulan pembukaan semula laluan darat untuk bantuan kemanusiaan menerusi kerjasama Kerajaan Mesir.

Beliau berkata keadaan kemanusiaan di Gaza masih amat membimbangkan dengan kemudahan asas termasuk hospital, sekolah dan rumah ibadat mengalami kemusnahan teruk akibat konflik yang berterusan.

Sehubungan itu, Mohamad meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan maklumat tidak tepat yang disebarkan di media sosial berhubung pengurusan AAKRP, sebaliknya yakin bahawa dana tersebut diurus secara profesional dan bertanggungjawab demi membantu rakyat Palestin.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan