AM

LHDN PERKUKUH PENGGUNAAN DATA E-INVOIS UNTUK PRAISI MAKLUMAT PELEPASAN CUKAI

23/06/2026 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sedang giat memperkukuh penggunaan data e-Invois bagi membolehkan maklumat pelepasan cukai individu dipraisi (pre-fill) dalam sistem e-Filing.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian E-Invois Sektor Operasi Cukai LHDN Jihan Zahiah Johari berkata inisiatif itu akan membolehkan data pembelian bagi perbelanjaan yang layak untuk pelepasan cukai dipaparkan secara automatik dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan berdasarkan rekod e-Invois diperoleh daripada penjual.

Beliau menjelaskan langkah itu adalah sebahagian daripada usaha pendigitalan percukaian negara bagi meningkatkan ketepatan pelaporan cukai selain memudahkan pembayar cukai menguruskan rekod perbelanjaan.

"Melalui e-Invois, pembeli tidak lagi perlu bergelut mencari semula resit atau dokumen perbelanjaan ketika musim e-Filing kerana semua rekod transaksi yang dimohon boleh disemak semula melalui Portal MyInvois sehingga dua tahun selepas transaksi divalidasi.

"Portal MyInvois berfungsi sebagai pusat sehenti penyimpanan dokumen perbelanjaan secara digital yang membolehkan pengguna mengakses maklumat pembelian dengan lebih mudah dan sistematik," katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai di Bernama Radio hari ini.

Jihan Zahiah berkata LHDN sebelum ini mengumumkan bahawa data e-Invois akan digunakan bagi menyokong inisiatif praisi maklumat pelepasan cukai individu yang layak.

“Sebagai contoh, pembelian komputer riba yang layak di bawah kategori pelepasan gaya hidup akan direkodkan menerusi kod pengkelasan item tertentu dalam e-Invois dan seterusnya dipaparkan secara automatik dalam sistem e-Filing apabila pembayar cukai membuat pelaporan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata proses mendapatkan e-Invois adalah mudah apabila pembeli hanya perlu memaklumkan kepada penjual bahawa mereka memerlukan e-Invois serta mengemukakan maklumat seperti nama, Nombor Pengenalan Cukai (TIN), nombor kad pengenalan, alamat, emel dan nombor telefon.

Katanya, pembeli disaran memastikan maklumat diberikan tepat dan membuat permohonan e-Invois sebaik sahaja transaksi berlaku bagi mengelakkan sebarang kesulitan, memandangkan penjual perlu mengemukakan e-Invois secara disatukan kepada LHDN sekiranya tiada permohonan diterima dalam tempoh ditetapkan.

“Penjual perlu memastikan setiap transaksi menggunakan kod klasifikasi yang tepat bagi membolehkan data berkenaan dimanfaatkan untuk menyokong inisiatif praisi maklumat pelepasan cukai individu pada masa hadapan,” katanya.

Jihan Zahiah berkata pembayar cukai juga boleh memuat turun kod QR pembeli menerusi Portal MyInvois bagi membolehkan maklumat pembeli dikongsi dengan lebih cepat dan tepat sekiranya sistem point-of-sale (POS) penjual menyokong fungsi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan maklumat dipraisi bukanlah tuntutan muktamad dan pembayar cukai bertanggungjawab memastikan hanya pelepasan yang layak sahaja dituntut, selain masih boleh membuat pindaan sekiranya terdapat perbezaan atau maklumat tidak lengkap sebelum mengemukakan borang cukai pendapatan mereka.

Beliau berkata penyimpanan data dalam Portal MyInvois juga tidak menghapuskan tanggungjawab pembayar cukai untuk menyimpan rekod dan dokumen berkaitan selama tujuh tahun sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 82 Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Bagi menyokong pelaksanaan e-Invois, kerajaan turut menyediakan tempoh kelonggaran interim sehingga 31 Dis 2027 bagi pembayar cukai Fasa 4 yang mula melaksanakan sistem itu pada 1 Jan tahun ini,” jelasnya.

Jihan Zahiah berkata sistem MyInvois ePOS juga disediakan secara percuma kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta bagi memudahkan pengeluaran e-Invois dan pengurusan transaksi harian.

Beliau turut menggalakkan orang ramai membudayakan amalan meminta e-Invois bagi setiap pembelian, khususnya untuk perbelanjaan layak mendapat pelepasan cukai, manakala peniaga disaran memanfaatkan tempoh peralihan diberikan untuk mempercepatkan proses pendigitalan perniagaan masing-masing.

“Pelaksanaan e-Invois yang berjaya memerlukan kerjasama pembeli dan penjual kerana setiap transaksi direkodkan secara digital bukan sahaja memudahkan urusan percukaian, malah menyumbang kepada sistem percukaian negara yang lebih telus, cekap dan berintegriti,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan