PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Penganjuran Anugerah Seni Negara (ASN) 2026 yang dijadualkan pada tahun ini ditangguhkan ke satu tarikh akan dimaklumkan kelak, menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat selaras dengan pelaksanaan langkah kawalan perbelanjaan mengurus kementerian bagi 2026 sebagai sebahagian usaha kerajaan memperkukuh pengurusan kewangan awam secara berhemat, cekap dan berintegriti.
“Langkah ini turut mengambil kira keperluan semasa negara dalam memastikan pengurusan sumber kewangan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berfokus kepada keutamaan nasional,” menurut kenyataan itu.
MOTAC memaklumkan sebarang perkembangan lanjut berhubung ASN 2026 akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi saluran rasmi MOTAC.
Bagaimanapun, MOTAC menegaskan penangguhan itu hanya melibatkan majlis penganugerahan dan tidak menjejaskan komitmen kerajaan dalam memperkasakan sektor seni dan budaya negara.
“Pelbagai program pembangunan kapasiti, pemerkasaan industri seni, pemuliharaan warisan serta inisiatif pengembangan budaya akan terus dilaksanakan mengikut perancangan telah ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
MOTAC turut merakamkan penghargaan kepada penggiat seni, badan bukan kerajaan (NGO), institusi budaya dan pihak berkepentingan yang telah memberikan komitmen serta kerjasama dalam persiapan ASN 2026.
MOTAC memaklumkan ASN kekal sebagai agenda penting kementerian sebagai pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh dan penggiat seni yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan seni tanah air.
“MOTAC akan terus menilai kesesuaian penganjurannya pada masa hadapan berdasarkan kedudukan semasa dan keutamaan kerajaan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
