TASEK GELUGOR, 23 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) menyasarkan kehadiran lebih 75,000 pengunjung sepanjang penganjuran Ekspo PERDA (EXPERT) 2026 di Midtown PERDA, Kubang Menerong di sini dari 2 hingga 4 Okt.
PengerusI PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata EXPERT tahun ini bertemakan “Sinergi Halal: Memperkasa Usahawan, Memacu Ekonomi” dan dijangka menghimpunkan lebih 200 pempamer pelbagai sektor perniagaan dengan sasaran nilai jualan serta pemerolehan kontrak berjumlah RM2 juta.
“Penganjuran EXPERT 2026 bertujuan mempromosikan produk keluaran usahawan, khususnya usahawan luar bandar di Pulau Pinang selain menyediakan platform pemasaran dan jaringan perniagaan lebih luas.
“Ekspo ini berperanan sebagai wadah promosi yang berpusat dan komprehensif bagi membolehkan usahawan bumiputera memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran yang lebih besar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Prapelancaran EXPERT 2026 Midtown PERDA di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol yang juga Timbalan Pengerusi PERDA dan Pengurus Besar PERDA Datuk Mohd Asri Baharum.
Shaik Hussein optimis sasaran RM2 juta boleh dicapai berdasarkan pengalaman tahun lepas apabila merekodkan jualan lebih RM3 juta, melebihi sasaran awal yang ditetapkan.
Beliau berkata EXPERT 2026 turut menyediakan platform pertemuan antara usahawan dan syarikat atau pasar raya menerusi aktiviti pemadanan perniagaan bagi memperluas jaringan pasaran produk dan perkhidmatan.
Selain itu, EXPERT 2026 memberi tumpuan kepada pemerkasaan produk halal dengan mewujudkan rangkaian usahawan pemegang sijil halal dari dalam dan luar negara serta memperluas akses pasaran melalui platform Global Halal Marketplace.
Majlis perasmian EXPERT 2026 yang masuk tahun ke lima dijadualkan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.
Shaik Hussein berkata bagi meningkatkan penyertaan antarabangsa, PERDA kini memperkukuh kerjasama strategik dengan negara jiran termasuk Indonesia dan Thailand bagi menarik penyertaan usahawan negara itu selain membuka peluang pasaran kepada usahawan tempatan.
Pengajuran ekspo itu, menurut beliau menawarkan pelbagai kluster perniagaan termasuk makanan dan minuman, perkhidmatan, pertanian dan agromakanan, automotif, kosmetik dan penjagaan diri, produk kesihatan serta kraftangan dan industri kreatif.
EXPERT 2026 turut dirangka sebagai program inklusif yang menyasarkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat menerusi pengisian seperti program wanita, aktiviti kekeluargaan, karnival buku, jualan Agro MADANI dan aktiviti pendidikan.
“Pelaksanaan pelbagai program ini dijangka mampu menarik kehadiran pengunjung dengan lebih meluas selain mewujudkan impak sosial dan ekonomi positif kepada komuniti setempat,” katanya.
Shaik Hussein berkata pengunjung juga bakal dihiburkan dengan persembahan artis popular dan kontemporari yang menampilkan elemen keagamaan serta hiburan santai pada setiap malam sepanjang penganjuran expo itu.
Jualan tapak pameran dibuka bermula 29 Jun secara dalam talian dan fizikal di ibu pejabat PERDA dengan harga RM120 hingga RM1,500 bagi tempoh tiga hari penganjuran.
“PERDA menyahut seruan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menurunkan harga gerai menerusi pemberian diskaun 20 peratus kadar sewaan untuk memastikan lebih ramai usahawan dapat mengambil bahagian tahun ini,” katanya.
Beliau berkata penganjuran EXPERT 2026 itu hasil kerjasama pelbagai jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan, syarikat swasta serta persatuan dalam usaha memperkukuh pembangunan keusahawanan dan memperluas jaringan pemasaran usahawan.
-- BERNAMA
