KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 6 Okt ini untuk mendengar permohonan semakan kehakiman oleh keluarga mendiang Altantuya Shaariibuu supaya polis menyiasat afidavit tambahan dan akuan bersumpah seorang bekas pegawai polis yang terlibat dalam kes pembunuhan model Mongolia itu.
Peguam Sangeet Kaur Deo yang mewakili bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev, ketika dihubungi hari ini berkata kes berkenaan akan didengar di hadapan Hakim Norliza Othman.
Pada 16 Okt 2025, Hakim Datuk Aliza Sulaiman yang kini Hakim Mahkamah Rayuan membenarkan Shaariibuu memulakan prosiding semakan kehakiman selepas dimaklumkan bahawa Peguam Negara tidak membantah permohonan berkenaan.
Dalam permohonan itu, Shaariibuu menamakan Ketua Polis Negara, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Diraja Malaysia, Peguam Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.
Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan responden yang gagal memaklumkan status terkini siasatan yang dijalankan pada 2019 oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung kandungan afidavit tambahan dan akuan bersumpah yang diikrarkan bekas pegawai Unit Tindakan Khas (UTK) Cif Inspektor Azilah Hadri adalah bercanggah dengan undang-undang.
Afidavit tambahan bertarikh 24 Sept 2024 dan akuan bersumpah bertarikh 17 Okt 2019 itu digunakan oleh Azilah bagi menyokong permohonan semakan hukuman mati terhadapnya di Mahkamah Persekutuan pada 10 Okt 2024.
Kedua-dua dokumen itu antara lain mengandungi pernyataan Azilah bahawa beliau menerima arahan daripada "pihak atasan" untuk menjalankan "operasi sulit" bagi "membunuh dan menghapuskan si mati".
Shaariibuu selaku pemohon berkata sekiranya siasatan terhadap afidavit tambahan dan akuan bersumpah itu masih berjalan, beliau memohon perintah mandamus supaya siasatan berkenaan dilengkapkan dalam tempoh sebulan dari tarikh perintah mahkamah
Beliau turut memohon perintah mandamus supaya semua responden memaklumkan secara terperinci status terkini siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman terhadap kandungan kedua-dua dokumen itu dalam tempoh tujuh hari dari tarikh keputusan mahkamah.
Selain itu, Shaariibuu berkata sekiranya responden memutuskan untuk mengklasifikasikan kertas siasatan sebagai “Tiada Tindakan Lanjut” (NFA), alasan bagi keputusan itu perlu diberikan.
Pada 10 Okt 2024, Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman mati terhadap Azilah dengan pemenjaraan 40 tahun serta 12 sebatan selepas membenarkan permohonan semakan yang difailkan bekas pegawai polis itu bagi kesalahan membunuh Altantuya.
-- BERNAMA
