BUTTERWORTH, 23 Jun (Bernama) -- Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) meluluskan hampir RM134 juta pembiayaan kepada 143 syarikat bumiputera di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) bagi tempoh 1 Dis, 2024 hingga 31 Mei lepas.
Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata pembiayaan itu disalurkan melalui pelbagai program disediakan TERAJU bagi memperkukuh pertumbuhan syarikat bumiputera di wilayah utara.
Beliau berkata sebanyak 260 syarikat dari wilayah utara turut mengemukakan permohonan bagi program pembiayaan TERAJU, sekali gus menunjukkan keyakinan dalam kalangan usahawan bumiputera untuk berkembang semakin meningkat.
“Angka ini membawa satu mesej yang sangat positif, menunjukkan keyakinan yang semakin meningkat dalam kalangan usahawan bumiputera untuk berkembang,” katanya kepada pemberita di Program TERAJU Aspirasi Outreach Pulau Pinang 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata sejak 2016, TERAJU melalui kerjasama strategik di bawah NCER telah menyokong 61 projek bumiputera dengan nilai pelaburan melebihi RM1 bilion.
Mohd Shahar berkata usaha itu turut disokong menerusi Dana Mudah Cara bernilai RM132.71 juta dan telah mewujudkan hampir 3,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di wilayah utara.
Beliau berkata pencapaian itu membuktikan agenda pembangunan bumiputera yang dilaksanakan secara konsisten mampu menghasilkan impak nyata, di samping menunjukkan potensi besar syarikat bumiputera di NCER untuk terus diperkasa.
Kerajaan melalui Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan penyertaan bumiputera yang berkualiti dalam ekonomi, memperkukuh pemilikan aset dan kekayaan bumiputera serta memperluas penguasaan dalam sektor strategik, katanya.
Pertukaran dua memorandum persefahaman (MoU) antara TERAJU dan dua syarikat iaitu MMC Engineering Sdn Bhd dan Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) turut dilakukan pada majlis itu.
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi berkata komitmen pihaknya adalah untuk membawa peluang pemerkasaan dan pembangunan ekonomi bumiputera terus ke wilayah utara.
“Menerusi kerjasama strategik dengan pemain industri utama seperti MMC dan MRT Corp, kami membuka pintu akses yang lebih luas kepada pembiayaan, pembangunan kapasiti dan pasaran sebenar untuk usahawan tempatan,” katanya.
TERAJU turut menawarkan tiga program pembangunan strategik iaitu ASCEND, ENHANCE dan XCELERATE yang dirangka bagi membantu syarikat bumiputera meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing serta mempercepat pertumbuhan dalam sektor bernilai tinggi.
Selain itu, TERAJU memperkenalkan Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF) iaitu inisiatif pembiayaan ekuiti dan program pemudahcaraan berstruktur.
Dana itu akan menyokong langkah korporat strategik syarikat bumiputera yang berpotensi tinggi termasuk persediaan ke arah penyenaraian di pasaran modal, penggabungan atau pengambilalihan strategik.
Penyerahan projek di bawah Program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera kepada Universiti Malaysia Perlis menerusi inisiatif “Producing Mushroom Using Optimal Humidity System - Driven For Community” yang dilaporkan menjana hasil keseluruhan melebihi RM1.7 juta turut dilaksanakan pada majlis itu.
-- BERNAMA
