KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Hanya kira-kira enam peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara berada dalam kesatuan sekerja ketika ini, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata angka penyertaan yang masih rendah menunjukkan ramai pekerja belum memahami sepenuhnya peranan dan manfaat yang boleh diperoleh menerusi penyertaan dalam kesatuan sekerja.
“Saya percaya kita masih mempunyai ruang yang besar untuk berkembang. Hari ini hanya sekitar enam peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara berada dalam kesatuan sekerja.
“Saya tidak mahu pekerja kita mencari kesatuan sekerja apabila berhadapan masalah sahaja sedangkan peranan kesatuan sekerja jauh lebih besar, bukan sekadar membantu menyelesaikan masalah, sebaliknya membantu mencegah masalah daripada berlaku,” katanya.
Ramanan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Geran Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 Peringkat Semenanjung Malaysia di sini hari ini.
Beliau berkata kesatuan sekerja bukan sekadar organisasi mewakili suara pekerja, malah menjadi rakan strategik kerajaan dalam memastikan pembangunan ekonomi yang adil dan inklusif selain hubungan perusahaan harmoni antara kerajaan, majikan dan pekerja akan terus menjadi asas kepada kestabilan pasaran buruh negara.
Dalam pada itu, Ramanan berkata penggunaan geran secara berkesan serta amalan tadbir urus yang baik akan menjadi antara pertimbangan kerajaan untuk menambah peruntukan pada masa depan.
Ramanan berkata kerajaan memperuntukkan RM6.1 juta bagi pelaksanaan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) 2026 di seluruh negara sebagai usaha memperkukuh gerakan kesatuan sekerja serta meningkatkan keupayaan organisasi pekerja dalam menghadapi cabaran semasa pasaran buruh.
Daripada jumlah itu, RM3.5 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan program latihan, pendidikan, penyelidikan, pendigitalan serta pemerkasaan tadbir urus kesatuan sekerja manakala RM2.6 juta untuk program outreach dan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Beliau turut menegaskan kepentingan menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang kini menjadi realiti dalam dunia pekerjaan selain keperluan meningkatkan kemahiran tenaga kerja.
Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi pelbagai inisiatif termasuk Jelajah AI MyMahir di bawah TalentCorp memperuntukkan RM110 juta bagi program peningkatan kemahiran rakyat Malaysia.
Sehingga 31 Disember 2025, Malaysia mempunyai 786 kesatuan sekerja berdaftar dengan keanggotaan melebihi 1.06 juta orang.
-- BERNAMA
