PUTRAJAYA, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia menyasarkan nilai pelaburan dan jualan sebanyak RM100 juta menerusi penyertaan sulung negara dalam Annecy International Animation Film Festival and Market (MIFA) 2026 yang berlangsung di Perancis.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan, negara diwakili oleh 11 syarikat animasi tempatan bagi mengetengahkan kedudukan Malaysia sebagai hab industri kreatif dan animasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Menurut kementerian itu, festival dan pasaran animasi terbesar dunia yang berlangsung dari 21 hingga 27 Jun itu merupakan platform strategik untuk Malaysia mempromosikan harta intelek (IP) tempatan, meneroka peluang penerbitan bersama, memperluas rangkaian perniagaan serta memperkukuh hubungan dengan pemain industri antarabangsa.
“Anggaran nilai pelaburan dan jualan sebanyak RM100 juta dijangka dapat dicapai menerusi potensi kerjasama penerbitan bersama, perkhidmatan animasi, pelaburan kandungan kreatif, pengedaran IP, serta kemasukan projek produksi antarabangsa ke Malaysia melalui Insentif Penggambaran Filem di Malaysia (FIMI),” menurut kenyataan itu.
Selain itu, Kementerian Komunikasi memaklumkan festival tersebut turut dijangka membuka ruang kepada syarikat tempatan untuk membina jaringan antarabangsa, menarik pelaburan serta meningkatkan kebolehpasaran industri animasi negara.
“Usaha ini selaras dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh daya saing industri kreatif negara, selain meningkatkan potensi eksport kandungan kreatif Malaysia ke pasaran antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
