EKONOMI

LIM HOCK SAN DARIPADA LBS TERIMA ANUGERAH PENCAPAIAN SEPANJANG HAYAT ASEAN

23/06/2026 09:24 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina Group Bhd Tan Sri Dr Lim Hock San menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat 2026 - Kepimpinan Perniagaan Berwawasan & Kecemerlangan Komuniti pada majlis ASEAN Outstanding Business Award 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur.

Anugerah itu bagi mengiktiraf pemimpin perniagaan yang mana sumbangannya melangkaui kejayaan korporat demi mencipta impak sosial, memperkukuh komuniti dan memupuk kerjasama serantau merentas ASEAN.

“Pengiktirafan yang diberikan ini bukanlah sekadar pencapaian peribadi semata-mata, tetapi merupakan bukti kepada usaha kolektif rakan sekerja, rakan perniagaan, pihak berkepentingan dan komuniti yang telah menyokong kami selama ini.

“Di LBS, kami sentiasa percaya pembangunan bukan sekadar membina bangunan; ia adalah tentang mewujudkan peluang, meningkatkan taraf hidup dan memupuk komuniti yang membolehkan masyarakat berkembang maju. Saya bersyukur diberi peluang untuk menyumbang kepada pertumbuhan Malaysia dan komuniti ASEAN yang lebih luas,” kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim, salah seorang usahawan hartanah terkemuka Malaysia, telah mentransformasikan LBS daripada sebuah syarikat pembinaan tempatan kepada pemaju perbandaran yang mempunyai kepentingan merangkumi sektor kediaman, komersial, perindustrian, hospitaliti, peruncitan, pelancongan dan tenaga boleh baharu.

Di bawah kepimpinan beliau, LBS telah menyerahkan lebih 58,000 unit kediaman dan membina komuniti yang memberikan impak positif kepada lebih 200,000 rakyat Malaysia.

 Berpandukan matlamat untuk "Bersama Membina Masa Depan", kumpulan itu terus memacu inovasi, kemampanan dan pembangunan yang berpaksikan pelanggan sambil berkembang ke dalam sektor pertumbuhan strategik demi mencipta nilai jangka panjang kepada pihak-pihak berkepentingan.

Menurut LBS, anugerah berkenaan memperkukuh semula komitmennya untuk meneruskan visi Lim dalam membina komuniti mampan dan menyumbang kepada pembangunan Malaysia serta rantau ASEAN yang lebih luas.

Anugerah itu memberi penghormatan kepada para pemimpin yang mana pengaruh mereka telah menunjukkan kejayaan dalam memperkukuh hubungan ekonomi dan mempromosikan kemakmuran bersama di rantau ini.

Komitmen Lim terhadap amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan pembangunan komuniti mencerminkan nilai-nilai yang sentiasa ditekankan untuk meraih anugerah berkenaan.

– BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan