EKONOMI

MALAYSIA TERBUKA PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK EKONOMI DENGAN UAE – MITI

23/06/2026 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Malaysia sentiasa terbuka untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam pelbagai sektor ekonomi berpotensi tinggi, termasuk industri petroleum dan gas, petrokimia serta logistik, bagi memacu perdagangan, pelaburan dan pembangunan industri bernilai tambah tinggi.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan bahawa petroleum mentah merupakan produk import utama Malaysia dari UAE, dengan nilai mencecah RM11.15 bilion pada 2025, iaitu 43 peratus daripada keseluruhan nilai import Malaysia dari negara itu, manakala produk hiliran petroleum bernilai RM4.23 bilion atau 10.4 peratus daripada jumlah import.

Bagi eksport pula, petroleum mentah dari Malaysia ke UAE bernilai RM729.82 juta atau 4.4 peratus daripada keseluruhan nilai eksport negara ke UAE, manakala produk hiliran petroleum bernilai RM88.35 juta atau 0.5 peratus.

“Walaupun dari sudut perdagangan dua hala sektor petroleum mencatatkan imbangan negatif, UAE kekal sebagai antara sumber utama import petroleum mentah yang menjadi bahan mentah (feedstock) kepada rantaian bekalan industri hiliran petroleum Malaysia,” menurut MITI.

Menurut kementerian itu, industri hiliran petroleum Malaysia mencatatkan nilai eksport global sebanyak RM103.55 bilion dan menyumbang kepada aliran dagangan bersih positif negara bernilai RM6.8 bilion.

MITI menyatakan perkara itu menerusi jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia hari ini.

Jawapan itu dikemukakan bagi menjawab pertanyaan Shahelmey Yahya (BN–Putatan) sama ada Malaysia mempertimbangkan untuk menjalin kerjasama strategik dengan UAE dalam meneroka potensi perdagangan petroleum yang mampu memberi implikasi positif kepada imbangan pembayaran negara susulan penarikan keahlian UAE daripada OPEC.

Menurut MITI, sebagai sebuah negara yang sebelum ini merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dalam OPEC, keputusan UAE untuk keluar daripada OPEC berkuat kuasa 1 Mei 2026 membuka ruang kerjasama strategik yang lebih luas antara kedua-dua negara.

Kerjasama itu termasuk penglibatan syarikat Malaysia dalam sektor peralihan tenaga, tenaga bersih dan tenaga boleh diperbaharui bersama dana kekayaan berdaulat UAE seperti Abu Dhabi Investment Authority dan Mubadala, sejajar dengan hala tuju pasca-OPEC negara berkenaan.

Selain itu, MITI memaklumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) turut bertindak proaktif menarik aliran masuk pelaburan dari UAE, khususnya dalam pembangunan dan pelaksanaan infrastruktur logistik serta penyimpanan petroleum mentah, projek kompleks penapisan bersepadu dan projek petrokimia bernilai tinggi di Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC).

“Melalui pendekatan ini, Malaysia berpotensi menjadi hab pengedaran serantau bagi industri dan produk petroleum UAE,” menurutnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan