AM

KECEMERLANGAN ANWAR DALAM SEKTOR MINYAK, GAS DI RUSIA DAN TURKMENISTAN

24/06/2026 09:08 AM

Oleh Wong Chun Wai

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Usaha yang baik wajar dihargai. Tidak dapat disangkal bahawa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia dan Turkmenistan pada minggu lepas ternyata membuahkan hasil yang amat cemerlang.  

Pertama, Presiden Rusia Vladimir Putin memberikan jaminan kepada Malaysia mengenai bekalan minyak, gas dan diesel untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.  

Turkmenistan pula membenarkan PETRONAS terlibat dalam pembangunan satu daripada medan gas telaga asli terbesar di dunia yang terletak di negara itu.

Di bawah perjanjian berkenaan, PETRONAS akan dipertanggungjawabkan untuk membangunkan dua blok gas utama.

Perjanjian itu akan membantu menangani kebimbangan Malaysia terhadap keperluan bekalan gas, di samping mengukuhkan kedudukan PETRONAS sebagai pengeksport utama ke pasaran penting termasuk Jepun, Korea Selatan dan China.

Perkembangan positif di Turkmenistan itu menyerlahkan bagaimana pentadbiran Perdana Menteri menggunakan diplomasi ekonomi secara proaktif untuk membantu syarikat Malaysia menembusi pasaran antarabangsa.

Berdekad lamanya PETRONAS telah membina reputasi sebagai satu daripada syarikat tenaga negara yang paling disegani di persada dunia.

Namun, dalam landskap geopolitik masa kini, keupayaan komersial semata-mata tidak lagi memadai.

Akses kepada sumber strategik kini semakin bergantung pada hubungan erat antara kerajaan dengan kerajaan, kepercayaan antara pemimpin negara, serta keupayaan meletakkan Malaysia sebagai rakan kongsi jangka panjang yang boleh dipercayai.

Realiti itu terserlah menerusi penglibatan Anwar dengan Turkmenistan. Lawatan beliau dan rundingan dengan Presiden Turkmenistan Serdar Berdimuhamedow membantu memacu hubungan dua hala bukan sekadar pertukaran diplomatik, sebaliknya membawa hasil ekonomi yang lebih konkrit. 

Dengan meletakkan kerjasama tenaga sebagai teras perbincangan, Anwar berjaya mewujudkan platform untuk PETRONAS meneroka peluang pelaburan baharu, yang sebelum ini mungkin memerlukan masa bertahun-tahun untuk direalisasikan.

Pendekatan itu selari dengan strategi dasar luar Perdana Menteri yang lebih menyeluruh. Sejak menerajui pentadbiran negara, Anwar konsisten menekankan diplomasi ekonomi sebagai alat pembangunan negara, sama ada melalui pengukuhan hubungan dengan negara-negara Teluk, menarik pelaburan dari China, memperluas kerjasama ASEAN atau membuka ruang baharu dalam pasaran yang sedang pesat membangun.

Tujuannya jelas, yakni setiap penglibatan diplomatik akhirnya perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan, pelaburan, perdagangan dan pertumbuhan ekonomi untuk rakyat Malaysia.

Inisiatif Turkmenistan membuktikan bagaimana strategi berkenaan mampu membuahkan hasil. Walaupun PETRONAS memiliki kepakaran teknikal dan kekuatan kewangan untuk bersaing pada peringkat antarabangsa, sokongan politik peringkat tertinggi dapat menyuntik keyakinan dan jaminan yang diperlukan oleh kerajaan negara tuan rumah untuk menjalin kerjasama yang lebih kukuh. 

Di kebanyakan negara yang kaya dengan sumber tenaga sumber strategik berkait rapat dengan kepentingan nasional, hubungan antara pemimpin sering menjadi faktor penentu. 

Peranan Anwar menjadi lebih signifikan memandangkan Turkmenistan kaya dengan rizab gas, yang menjadikannya antara lokasi penting bagi syarikat tenaga global.

Justeru, peranan Perdana Menteri tidak seharusnya dilihat sebagai campur tangan dalam urusan korporat, sebaliknya sebagai contoh tataurus ekonomi moden yang berkesan.

Dalam ekonomi global yang kian kompetitif, kerajaan dijangka memainkan peranan aktif dalam menyokong syarikat nasional masing-masing serta membantu menembusi pasaran strategik.

Negara seperti China, Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Teluk telah lama mengintegrasikan diplomasi dengan objektif komersial. Kecemerlangan Malaysia di Turkmenistan menyaksikan bahawa Anwar mengamalkan pendekatan yang sama. 

Jika PETRONAS berjaya memperoleh penyertaan dalam pembangunan medan gas baharu yang utama, pencapaian itu bukan sahaja menjadi milik syarikat dan pasukan pengurusannya, sebaliknya hasil kerjasama antara kerajaan, diplomasi negara dan kecemerlangan korporat. 

Mesejnya jelas: apabila kepimpinan dan diplomasi Malaysia selari dengan kepentingan perniagaan, Malaysia berupaya melakar kejayaan yang jauh lebih cemerlang mengatasi kekuatannya di pentas dunia. 

-- BERNAMA

 

Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Tokoh Wartawan Negara

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan