DUNIA

RONALDO LAKAR SEJARAH KETIKA PORTUGAL BENAM PENDATANG BAHARU PIALA DUNIA UZBEKISTAN 5-0

24/06/2026 09:33 AM

ISTANBUL, 24 Jun (Bernama-Anadolu) -- Cristiano Ronaldo melakar sejarah apabila menjadi pemain pertama yang menjaringkan gol dalam enam kejohanan Piala Dunia FIFA ketika membantu Portugal membelasah pendatang baharu Piala Dunia, Uzbekistan 5-0 dalam aksi Kumpulan K pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Selepas mensia-siakan dua peluang penting pada minit-minit awal permainan, Portugal mendahului seawal minit keenam menerusi Ronaldo yang menyempurnakan hantaran lintang Joao Cancelo untuk menjaringkan gol kesembilannya di Piala Dunia.

Gol pembukaan itu menyaksikan kapten Portugal berusia 41 tahun itu muncul sebagai penjaring kedua tertua dalam sejarah kejohanan, di belakang Roger Milla yang menjaringkan gol ketika menentang Rusia pada 1994 pada usia 42 tahun. 

Portugal menggandakan kelebihan pada minit ke-17 menerusi situasi sepakan percuma yang diambil oleh pertahanan kiri Nuno Mendes, dengan perhatian pada mulanya tertumpu kepada Ronaldo yang dijangka mengambil sepakan itu.

Peluang terbaik Uzbekistan pada separuh masa pertama hadir pada minit ke-29 apabila pemain tengah Azizjon Ganiev meledak gol menerusi rembatan jarak jauh yang menarik. Bagaimanapun, jaringan itu dibatalkan menerusi semakan sistem Video Bantuan Pengadil (VAR) seminit kemudian kerana kekasaran dikesan dalam gerakan yang membawa kepada gol berkenaan.

Ronaldo menjaringkan gol keduanya dalam perlawanan itu apabila menyudahkan hantaran perancang tengah Bruno Fernandes pada minit ke-39.

Gol kedua itu turut menyaksikan Ronaldo mengatasi legenda Portugal, Eusebio, sebagai penjaring terbanyak negaranya dalam sejarah Piala Dunia.

Walaupun mencipta beberapa peluang pada awal separuh masa kedua, Uzbekistan terus ketinggalan apabila satu situasi sepakan sudut pada minit ke-60 mencetuskan keadaan kelam-kabut di dalam kotak penalti sebelum penjaga gol Abduvohid Nematov tertampan bola ke gawang sendiri.

Pemain gantian Portugal, Rafael Leao melengkapkan kemenangan besar pasukannya apabila menjaringkan gol kelima pada minit ke-87, hanya empat minit selepas dimasukkan, menerusi rembatan dari dalam kotak penalti.

Kemenangan itu meletakkan Portugal di tangga teratas Kumpulan K dengan berbaki satu perlawanan, manakala Uzbekistan masih memburu mata pertama dalam kempen sulung Piala Dunia mereka.

Dalam perlawanan pembukaan kejohanan, Portugal seri 1-1 dengan satu lagi pendatang baharu Piala Dunia, Republik Demokratik Congo (DR Congo).

Sementara itu, Uzbekistan tewas 3-1 kepada naib juara Copa America 2024, Colombia dalam perlawanan pertama Piala Dunia mereka.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan K, Colombia akan menentang DR Congo lewat Selasa di Estadio Guadalajara, Mexico pada 0200 GMT.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan, Portugal akan menentang Colombia manakala Uzbekistan berdepan DR Congo.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan