AM

UPKK, ITHBAT KAFA PRATAHFIZ TAHUN 2026 DILAKSANA BERMULA 29 JUN INI - KP JAKIM

24/06/2026 02:29 PM

PUTRAJAYA, 24 Jun (Bernama) -- Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK) dan Ithbat KAFA Pratahfiz (IKP) Tahun 2026 akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan di seluruh negara bermula 29 Jun ini. 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pelaksanaan ini melibatkan komponen pentaksiran berterusan, peperiksaan bertulis dan pentaksiran Hifz al-Quran yang akan dilaksanakan serentak mengikut tarikh yang ditetapkan jabatan itu.

Pelaksanaan UPKK dan IKP Tahun 2026 melibatkan beberapa komponen pentaksiran seperti berikut, iaitu komponen Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) diadakan pada 29 Jun hingga 28 Sept mengikut waktu persekolahan.

Amali Solat (29 Jun-28 Sept); Pentaksiran al-Quran (28 Sept-16 Okt); ITHBAT KAFA Pratahfiz (IKP) - Hifz al-Quran (3-6 Ogos) masing-masing dilaksana mengikut waktu persekolahan, manakala Peperiksaan Bertulis UPKK (2-5 Nov) yang dilaksana mengikut jadual peperiksaan yang ditetapkan. 

Beliau berkata UPKK merupakan mekanisme pentaksiran kebangsaan yang dilaksanakan oleh JAKIM bagi menilai tahap penguasaan, kefahaman dan penghayatan murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) terhadap pendidikan Islam secara menyeluruh.

“Selaras dengan usaha memperkukuh kualiti pendidikan KAFA, pendekatan pentaksiran yang dilaksanakan turut memberi penekanan kepada aspek pengetahuan, kemahiran dan penghayatan nilai Islam dalam kehidupan seharian,” katanya. 

Sirajuddin berkata semua calon yang berdaftar untuk menduduki UPKK adalah wajib mengikuti PCHI dan Amali Solat sebagai sebahagian daripada komponen penilaian keseluruhan.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan