BATU PAHAT, 24 Jun (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya di sini dijangka mula beroperasi pada September ini secara pendudukan separa selepas sesi penyerahan projek sekolah itu oleh Kementerian Pendidikan (KPM) selesai dilaksanakan semalam.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penyerahan sekolah berkenaan disempurnakan Setiausaha Bahagian Pembangunan KPM Mohd Radzuan Abdul Manaf yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Johor Zulkurnain Abdul Rahman serta Pegawai Pendidikan Daerah Batu Pahat Mahidah Kosnan.
“Insya-Allah, jika tiada aral melintang, sekolah ini akan beroperasi pada September ini. Begitulah tingginya hasrat KPM untuk memastikan anak-anak terus belajar dalam suasana kondusif dan para guru kami dapat berkhidmat dalam nyala rasa pendidikan yang tinggi,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata fasiliti yang baik pastinya menjamin hak pendidikan yang lebih inklusif.
Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada pasukan pengurusan projek, barisan perunding, agensi kerajaan berkaitan, pihak utiliti dan kontraktor yang komited memastikan projek sekolah itu dapat disiapkan.
“Akhirnya! Di bawah Kerajaan MADANI ia disempurnakan,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM turut menyerahkan Surat Setuju Terima (SST) bagi projek pembinaan semula bangunan daif di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Nawi di Parit Jawa, petang semalam.
Beliau berkata projek itu merangkumi pembinaan semula blok kantin yang sebelum ini disahkan tidak selamat untuk digunakan, selain pembinaan susur berbumbung serta pagar baharu demi keselamatan warga sekolah.
“Saya minta supaya pelaksanaan projek dipantau rapi supaya ia dapat berjalan lancar dan siap pada waktu yang telah ditetapkan. Insya-Allah, menjelang pertengahan tahun hadapan projek ini akan siap sepenuhnya,” katanya di Facebook.
Beliau berkata SK Parit Nawi adalah sebuah sekolah yang mempunyai kebitaraan tinggi dalam bidang kokurikulum, termasuk melahirkan pasukan sofbal yang pernah merangkul gelaran juara di peringkat daerah dan negeri Johor.
“Semoga SK Parit Nawi terus melangkah gagah, membentuk generasi yang berilmu dan berakhlak, selari dengan cogan kata sekolah, ‘Ilmu Asas Hidup’,” katanya.
-- BERNAMA
