PENDANG, 24 Jun (Bernama) -- MNRB Holdings Berhad (MNRB), sebuah syarikat pegangan pelaburan telah menyalurkan dana berjumlah hampir RM600,000 menerusi Program Lestari Cemerlang MNRB yang memanfaatkan enam sekolah seluruh negara.
Interim Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata program sekolah angkat itu mula diperkenalkan pada 2011, dan satu daripada inisiatif tanggungjawab korporat syarikat.
Beliau berkata ia memberikan tumpuan kepada peningkatan prestasi akademik, pembangunan sahsiah serta kecemerlangan sekolah, khususnya di kawasan luar bandar.
"Program Lestari Cemerlang MNRB mencerminkan aspirasi kami untuk membantu sekolah dan para pelajar mencapai potensi terbaik mereka melalui pendekatan yang merangkumi aspek akademik dan kokurikulum.
"Kami berharap program ini dapat menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pelajar serta membuka lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran dan membina masa depan yang lebih baik,” katanya pada majlis pelancaran program itu di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, di sini hari ini.
Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ishak Awang dan turut dihadiri Pengetua SMK Kubor Panjang Mohd Fadzli Abd Aziz serta barisan pengurusan kanan Kumpulan MNRB.
Rudy Rodzila berkata SMK Kubor Panjang ialah sekolah keenam yang dipilih di bawah program itu selepas pelaksanaannya di beberapa sekolah di Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Selangor sebelum ini.
Beliau berkata di bawah program itu warga sekolah menerima manfaat menerusi pelbagai inisiatif akademik, termasuk kelas tambahan untuk pelajar tingkatan lima, kem motivasi, program pembangunan pelajar dan penambahbaikan kemudahan pembelajaran, penajaan jersi pasukan sukan sekolah serta program penghijauan landskap sekolah.
"MNRB turut menaja sebuah bilik pembelajaran yang dikenali sebagai MNRB Smart e-Learning Room, yang dilengkapi dengan televisyen pintar dan kemudahan Internet bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran lebih interaktif dan kondusif sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh pembelajaran digital," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan MNRB Hazlina Hazani berkata MNRB turut menawarkan biasiswa kepada lima pelajar terbaik di SMK Kubor Panjang menerusi Tabung Biasiswa MNRB bagi membantu pelajar melanjutkan pengajian peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan sarjana.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 14 pelajar dari sekolah-sekolah angkat sebelum ini telah menerima tajaan Tabung Biasiswa MNRB, dan lapan daripada mereka kini bekerja dengan Kumpulan MNRB sebaik menamatkan pengajian.
"Berbeza dengan Program Lestari Cemerlang MNRB, Tabung Biasiswa MNRB ini ditawarkan kepada pelajar cemerlang di sekolah angkat kita yang mengikuti pengajian tinggi dalam bidang-bidang yang berkaitan dengan perniagaan kita seperti insurans, takaful dan kewangan," katanya.
-- BERNAMA
