JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS KL TAHAN 1,156 INDIVIDU TERLIBAT PERJUDIAN TERMASUK PERTARUHAN PIALA DUNIA

24/06/2026 04:18 PM

​KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur menahan 1,156 individu disyaki terlibat dalam pelbagai aktiviti perjudian haram dan penipuan menerusi 868 serbuan di sekitar ibu kota dari 1 Jan hingga 23 Jun. 

​Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata daripada jumlah itu, 24 individu ditahan menerusi pelaksanaan 22 serbuan Ops Soga IV Perjudian Bola Sepak Piala Dunia 2026. 

​Operasi khas sempena kejohanan bola sepak berprestij itu turut merampas pelbagai peranti elektronik dengan siasatan dibuat mengikut Akta Pertaruhan 1953, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Imigresen 1959. 

​”Selain itu, polis melaksanakan 486 serbuan membabitkan kegiatan judi nombor ekor haram yang membawa kepada 487 tangkapan berserta rampasan wang tunai RM4,886 dan 451 unit telefon bimbit,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Fadil berkata sebanyak 341 lagi ditahan hasil 322 serbuan ke atas aktiviti perjudian dalam talian dengan rampasan pelbagai peranti termasuk komputer tablet, telefon bimbit dan peranti rangkaian Internet. 

​Selain itu, polis turut menggempur 21 premis dipercayai beroperasi sebagai pusat panggilan bagi kegiatan menyalahi undang-undang yang membawa kepada penahanan 152 individu serta rampasan 58 komputer dan 77 komputer riba. 

​Beliau berkata bagi aktiviti perjudian dalam bangunan, polis menahan 146 individu menerusi 16 serbuan dengan rampasan wang tunai RM10,842 serta ribuan cip pelbagai warna dan batu mahjong. 

​Beliau berkata baki enam individu ditahan menerusi serbuan berkaitan aktiviti perjudian luar bangunan berserta rampasan wang tunai dan set daun terup. 

​”Secara keseluruhannya, operasi bersepadu ini mencatatkan jumlah rampasan wang tunai RM45,033 berserta nilai pertaruhan berjumlah RM96,878.58 dan mata wang Hong Kong sebanyak HKD32,799.75,” katanya. 

Fadil menasihatkan orang awam sentiasa menjauhi aktiviti perjudian dan berwaspada terhadap taktik penipuan pusat panggilan membabitkan tawaran pekerjaan, pelaburan atau penyamaran agensi kewangan. 

​-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan