POLITIK

PH SABAH SAMBUT BAIK BUDI MADANI DIESEL, HARAP PELAKSANAAN TIDAK BEBANKAN RAKYAT

24/06/2026 04:43 PM

KOTA KINABALU, 24 Jun (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) Sabah menyeru kerajaan memastikan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel di Sabah adalah telus, adil dan tidak membebankan rakyat.

Ketua Penerangan PH Sabah Datuk Chan Foong Hin berkata secara prinsipnya, gabungan itu menyokong usaha reformasi subsidi menerusi pendekatan lebih bersasar, telus dan mampu mengurangkan ketirisan, sekali gus memastikan bantuan kerajaan dinikmati golongan yang benar-benar layak.

“Kita menyambut baik pelaksanaan BUDI MADANI Diesel yang akan menurunkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara menerusi penggunaan MyKad bermula 1 Julai ini.

“Tetapi kerajaan perlu memastikan pelaksanaannya di Sabah berlangsung secara telus, adil dan tidak membebankan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata penjimatan subsidi yang diperoleh juga perlu dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan bersasar, perlindungan kos sara hidup serta penambahbaikan perkhidmatan awam.

“Dalam hal ini, kejayaan pelaksanaan dasar ini tidak boleh hanya diukur melalui penyeragaman sistem, tetapi mesti dinilai berdasarkan kesan sebenar terhadap kehidupan rakyat Sabah dan bagaimana ia dapat diselaraskan untuk meringankan cabaran sara hidup masyarakat di sini.

“Rakyat Sabah amat bergantung kepada pengangkutan darat jarak jauh, logistik antara daerah, penggunaan kenderaan diesel persendirian, bot sungai serta penggunaan genset di kawasan pedalaman,” katanya.

Chan berkata PH Sabah turut menghargai penglibatan aktif Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali yang bersama-sama menerajui sesi penerangan berhubung pelaksanaan dasar berkenaan.

Beliau berkata sebagai wakil rakyat dari Sabah yang memahami realiti ekonomi dan geografi negeri itu yang berbeza daripada Semenanjung, peranan Armizan penting dalam memastikan pelaksanaan subsidi bersasar dapat mengimbangi pertimbangan fiskal selain melindungi kepentingan pengguna serta kestabilan harga di Sabah.

Sehubungan dengan itu, beliau berharap beberapa perkara diberikan perhatian serius bagi memastikan pelaksanaan dasar berkenaan berjalan lancar.

Selain itu, beliau berkata mekanisme tambahan kuota bagi pengguna diesel di kawasan luar bandar dan pedalaman perlu dilaksanakan secara fleksibel dan mesra rakyat, memandangkan corak penggunaan di Sabah berbeza serta melibatkan perjalanan yang lebih jauh.

Chan turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama agensi berkaitan memperhebat pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menggunakan perubahan mekanisme subsidi sebagai alasan menaikkan harga barang atau caj pengangkutan secara tidak munasabah.

Beliau juga menekankan kepentingan memperkukuh saluran bantuan dan aduan termasuk di kawasan luar bandar supaya rakyat tidak berdepan kesukaran mengakses sistem baharu yang diperkenalkan.

Dalam pada itu, Chan berkata PH Sabah menyambut baik keputusan kerajaan mengekalkan subsidi bagi sektor strategik seperti nelayan, petani kecil dan pengangkutan awam, selain memperluas akses kepada pengusaha bot sungai serta pengguna genset di kawasan pedalaman.

Beliau berkata PH Sabah akan terus memainkan peranan konstruktif bersama Kerajaan MADANI bagi memastikan pelaksanaan dasar itu benar-benar memanfaatkan rakyat tanpa meninggalkan sesiapa di belakang.

– BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan