AM

PUSAT GAMELAN MELAYU UNIVERSITI TEKNOLOGI PETRONAS PELIHARA WARISAN BUDAYA

24/06/2026 05:39 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) memperkukuh usaha untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya Malaysia melalui penubuhan Pusat Gamelan Melayu UTP, satu inisiatif khusus yang menumpukan pendidikan, penyelidikan, pemeliharaan dan pembangunan bakat gamelan Melayu.

UTP dalam kenyataan hari ini memaklumkan pusat berkenaan dilancarkan secara rasmi semasa festival Ensemble of Gamelan (EOG) 2026 baru-baru ini, acara muzik tradisional yang menghimpunkan 11 kumpulan persembahan dari unversiti, sekolah, organisasi kebudayaan dan kumpulan warisan di seluruh negara di bawah tema “Evolusi Gamelan”.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Pegawai Kewangan Negeri Terengganu Datuk Tun Ahmad Faizal Tun Abd Razak dan disaksikan oleh Pengasas Bersama Sahabat Gamelan Terengganu To' Puan Ariza Ibrahim, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak Muhammad Syazwan Shazan Abdul Halim, Provos Akademik UTP Profesor Dr Benjamin Colin Cosh dan Naib Presiden Kanan Perniagaan merangkap Ketua Pegawai Operasi UTP Ir Zaimizi Hamdani.

“Dikenali dengan kekuatannya dalam bidang kejuruteraan, teknologi dan disiplin berkaitan tenaga, UTP juga mementingkan usaha memupuk siswazah yang serba boleh melalui penghayatan budaya, kreativiti, dan pembelajaran berasaskan pengalaman,” menurut kenyataan itu.

Pusat Gamelan Melayu UTP itu ditubuhkan atas usaha selama lebih dua dekad oleh Sanggar Kirana, kumpulan gamelan UTP yang diasaskan pada 2002, yang telah berkembang daripada sekumpulan pelajar kokurikulum menjadi ensembel yang disegani dengan 47 ahli aktif daripada pelbagai disiplin akademik.

Melalui persembahan, rakaman, inisiatif pendidikan dan jangkaun komuniti, kumpulan muzik itu memainkan peranan penting dalam mempromosikan dan mengekalkan penghargaan terhadap gamelan Melayu sambil membantu memelihara seni tradisional itu untuk generasi akan datang.

Kenyataan itu menjelaskan bahawa selain mengembangkan bakat muzik pelajar, Sanggar Kirana juga memupuk generasi pelajar yang terus memperjuangkan bentuk seni ini dan menyumbang kepada pemeliharaan warisan budaya Melayu.

Kini, pada edisi ke-12, EOG menjadi platform untuk penghargaan dan pembangunan gamelan Melayu. EOG 2026 menampilkan persembahan daripada ensembel yang mewakili universiti, sekolah dan kumpulan kebudayaan dari seluruh negara, menyediakan peluang untuk kerjasama artistik, pertukaran budaya dan perkongsian ilmu dalam kalangan pengamal, pendidik dan pelajar.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan