SEREMBAN, 24 Jun (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan menahan 31 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan di 11 lokasi sekitar Tampin dan Seremban semalam.
Pengarah JIM Negeri Sembilan Mohd Razip Yasin berkata operasi bermula dari 10 pagi hingga 9 malam itu melibatkan pemeriksaan ke atas 84 warga asing berusia antara 19 hingga 54 tahun terdiri daripada warga Indonesia, Nepal, Vietnam dan Bangladesh.
“Sebanyak 26 lelaki dan lima wanita ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, antaranya tidak memiliki pas atau dokumen perjalanan yang sah, tinggal lebih masa serta pelbagai kesalahan lain di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Semasa operasi dijalankan, terdapat seorang warga asing dikesan di sebuah restoran yang tular di media sosial bertindak melarikan diri dengan bersikap agresif dan cuba melanggar pegawai penguat kuasa menggunakan sebuah kenderaan sebelum diberkas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata tindakan warga asing itu menyebabkan bahagian muka suspek mengalami kecederaan akibat pergelutan dengan pasukan operasi.
Mohd Razip berkata operasi itu dilaksanakan hasil aduan dan maklumat orang awam serta risikan yang dijalankan oleh pihaknya selama seminggu dan semua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA
