EKONOMI

IATA TETAPKAN EMPAT KEUTAMAAN ATASI KEGAGALAN RANTAIAN BEKALAN AEROANGKASA

24/06/2026 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menetapkan empat keutamaan untuk mengatasi kegagalan rantaian bekalan aeroangkasa yang berterusan iaitu meningkatkan kebolehlihatan rantaian bekalan dan membuka akses kepada pasaran selepas jualan.

Dua keutamaan lain adalah memanfaatkan nilai data, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) serta membangunkan kapasiti modal insan.

Pengarah Operasi Penerbangan dan Teknikal IATA, Stuart Fox berkata kelewatan penghantaran pesawat, isu ketahanan enjin, kekurangan komponen dan alat ganti, serta kapasiti penyelenggaraan yang terhad telah mengganggu operasi syarikat penerbangan.

“Usaha mengatasi semua cabaran ini memerlukan tindakan praktikal dan kerjasama merentas rantaian nilai penerbangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata peningkatan kebolehlihatan rantaian bekalan akan membolehkan syarikat penerbangan merancang operasi rangkaian global masing-masing dengan lebih baik melalui maklumat lebih awal dan lebih boleh dipercayai daripada pengeluar mengenai kelewatan penghantaran, tempoh pembaikan, ketersediaan alat ganti dan kekangan yang dikenal pasti.

Fox turut menggesa lebih ramai pengeluar supaya komited terhadap prinsip utama dalam perjanjian IATA-CFM untuk menyokong persaingan selepas jualan yang luas dengan memperkukuh akses kepada perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pihak ketiga, alat ganti alternatif serta pembaikan yang diluluskan.

Mengenai data, pendigitalan dan AI, Fox berkata penyepaduan yang lebih baik antara sistem penyenggaraan syarikat penerbangan dengan risikan maklumat pasaran luaran dapat meningkatkan pengurusan inventori.

Menerusi integrasi itu juga ketersediaan serta kekurangan bahan dapat dikenal pasti di samping membantu dalam membuat keputusan sama ada membaiki atau mengganti, serta mengukuhkan tuntutan jaminan, katanya,

Beliau berkata AI juga boleh menyokong semua proses tersebut dengan menjangkakan permintaan, mengenal pasti kekurangan bekalan dan mengurangkan kerja-kerja manual.

Sementara itu, Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh berkata kegagalan rantaian bekalan menyebabkan syarikat penerbangan menanggung kos sekurang-kurangnya US$11 bilion (US$1 = RM4.14) pada 2025.

Beliau berkata jumlah tempahan pesawat yang masih belum dipenuhi kini melebihi 18,000 unit, manakala purata usia kumpulan pesawat mencapai rekod tertinggi iaitu 15.2 tahun.

“Selain itu, kekurangan lebih 5,000 pesawat gantian lebih cekap bahan api, yang sebelum ini diharapkan oleh syarikat penerbangan, telah menyebabkan mereka terlepas keuntungan kecekapan, di samping kadar pajakan yang tinggi dan kenaikan kos penyenggaraan,” katanya.

Pada masa sama, IATA menggesa semakan terhadap proses pengambilan pekerja, latihan dan pelesenan juruteknik penyenggaraan untuk mengurangkan tempoh, meluaskan akses serta meningkatkan kestabilan kerjaya.

Menurut IATA permintaan terhadap juruteknik penyenggaraan dijangka terus meningkat, seperti dibuktikan menerusi jangkaan oleh Boeing bahawa sebanyak 710,000 juruteknik baharu diperlukan dalam tempoh 20 tahun akan datang.

“Peningkatan kapasiti latihan, pengurangan kekangan kelayakan yang tidak diperlukan serta mewujudkan pengiktirafan kemahiran yang lebih tinggi merentas sempadan akan membantu mengisi jurang tenaga kerja ini,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan