KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Yasmeen Muhamad Shariff atas kejayaan dipilih sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak (CRC) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2027 hingga 2031.
Menerusi hantaran di laman Facebook beliau, Anwar menyifatkan pencapaian itu mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap peranan dan komitmen Malaysia di peringkat global.
"Alhamdulillah. Tahniah kepada Datuk Yasmeen Muhamad Shariff dan seluruh warga KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) atas kejayaan yang sangat membanggakan ini," kata beliau.
Perdana Menteri turut mendoakan agar pencapaian itu menjadi pemangkin untuk Malaysia terus memperkukuh usaha, mengangkat martabat negara dan melakar lebih banyak kejayaan di persada antarabangsa.
Semalam, KPWKM memaklumkan Yasmeen memperoleh 136 undi daripada 189 Negara Pihak yang hadir pada Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di ibu pejabat PBB di New York.
Yasmeen, yang pernah menganggotai jawatankuasa itu bagi penggal 2013 hingga 2017, memperoleh jumlah undi tertinggi dalam pemilihan berkenaan.
Sebagai anggota jawatankuasa itu, Yasmeen akan berkhidmat atas kapasiti peribadi dan bebas.
-- BERNAMA
