FOKUS BERNAMA

LEBIH SEDEKAD BERTAHAN, SIXTY9 ISLAMIC STEAKHOUSE KONGSI RAHSIA KEJAYAAN

25/06/2026 11:52 AM
From Balkish Awang

Dad (Ayah), botol di meja sebelah tu cantik. Kenapa kita tidak pesan minuman itu?” soal si anak yang baru berusia 10 tahun, lantas dijawab si ayah “Tak boleh, sebab itu wain (arak).” 

“Ustazah saya kata, kita sebagai orang Islam tidak boleh masuk ke tempat yang menjual wain. Nanti, pinggan mangkuk dan peralatan lain mungkin terkena arak dan menjadi najis,” balas si anak, membuatkan si ayah terdiam.

Namun rentetan perbualan antara beliau dan anak perempuannya ketika mereka sekeluarga menikmati hidangan stik di sebuah restoran pada 2014, mendorong Kamarulzaman Mohd Nasir, 57, membuka restoran sajian stik dan masakan barat lain yang halal sepenuhnya, 

 “Kita sedia maklum, sukar untuk kita cari restoran masakan barat termasuk stik yang memang halal sepenuhnya. Biasanya mereka akan maklumkan daging yang digunakan itu halal, tetapi cara penyediaannya bagaimana? 

“Bila mendengar kata-kata anak, memang ada benarnya. Menjadi fardu kifayah kepada kita (orang Islam) untuk menyediakan makanan yang benar-benar halal kepada umat Islam,” kata pemilik bersama Sixty9 Islamic Steakhouse ini kepada Bernama.

 

TANPA ILMU 

 

Berkongsi lanjut, Kamarulzaman berkata restoran itu yang diusahakan dengan lima rakannya beroperasi secara rasmi pada 27 Feb 2015 dan kini menerima kunjungan pelanggan bukan hanya dari sekitar Lembah Klang tetapi juga dari negeri lain.

“Ada pelanggan sanggup memandu selama berjam-jam dari Temerloh (Pahang), Banting (Selangor) dan Melaka untuk datang ke Taman Melawati ini bagi menikmati stik kami,” ujarnya.

pic-2

Pun begitu, penubuhan restoran itu bukan semudah A,B, C, sementelah beliau dan lima rakan kongsinya langsung tidak ada ilmu dalam bidang perniagaan makanan dan minuman (F&B).

“Saya dalam bidang insurans, rakan-rakan saya pula masing-masing dalam industri minyak dan gas, perakaunan, kejuruteraan mekanikal serta dua orang doktor. Tanpa ilmu, kami memutuskan untuk membuka restoran sebagai francaisi sebuah jenama stik Muslim. 

“Kami berkongsi sumber dan modal, namun selepas dua bulan beroperasi kami terpaksa menutup perniagaan atas pelbagai masalah dan menamatkan kontrak francais walaupun terpaksa menanggung kerugian lebih RM200,000,” katanya, menambah pun begitu mereka tidak berputus asa. 

“Seorang rakan kongsi mengenali Chef Sabri Hassan, iaitu pakar kulinari dan pengacara televisyen berpengalaman lebih 28 tahun dalam industri F&B. Kami sepakat melantik beliau sebagai perunding, dan dalam tempoh sebulan Sixty9 Islamic Steakhouse beroperasi," katanya.

Dalam membangunkan restoran itu, Kamarulzaman melafazkan setinggi-tinggi penghargaan buat Chef Sabri  yang katanya menjadi tonggak utama penubuhan Sixty9 Islamic Steakhouse termasuk mendapatkan kakitangan dan menyusun semula operasi, kerana ketika itu beliau dan rakan kongsi masih bekerja sepenuh masa.

“Cabaran paling besar ialah pengurusan kakitangan. Saya sendiri tidak tahu bagaimana industri ini beroperasi. Saya juga tidak tahu di mana hendak mencari pembekal daging, sayur-sayuran, ayam serta tenaga kerja yang sesuai,” katanya, menambah semua aspek itu dibantu oleh Chef Sabri yang turut membangunkan prosedur operasi standard (SOP) restoran.

 

PANDEMIK COVID-19

 

Mengimbau perjalanan lebih sedekad mengusahakan restoran, Kamarulzaman berkata antara  pengalaman paling tidak dapat dilupakan ialah ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang menyaksikan hampir semua premis perniagaan termasuk restoran terpaksa ditutup.

“Tempoh paling mencabar semasa pandemik COVID-19. Tabung kecemasan yang kami ada semakin menyusut. Restoran pula sekejap dibenarkan buka, sekejap kena tutup. Keadaan itu menyebabkan banyak stok bahan mentah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan rosak.

“Paling ketara peringkat awal restoran terpaksa ditutup lebih kurang dua bulan. Waktu itu saya sudah beli banyak stok bahan mentah seperti daging, ayam dan lain-lain kerana menyangka penutupan hanya selama dua minggu,” katanya.

pic-3

Sepanjang penularan wabak COVID-19, banyak perniagaan khususnya dalam F&B, terpaksa gulung tikar akibat tekanan kewangan, menyaksikan ramai pekerja kehilangan sumber pendapatan.

Namun Kamarulzaman dan lima rakannya mengambil tindakan proaktif dengan membayar gaji penuh kepada semua 14 pekerja mereka sekalipun restoran tidak beroperasi.

“Kami ada 18 pekerja sebelum itu, tetapi empat orang berhenti. Jadi, tinggallah 14 orang sepanjang pandemik. Kami bayar gaji penuh kepada mereka kerana, ketika operasi perniagaan berjalan lancar mereka banyak berkorban dan memberi komitmen penuh kepada restoran. Apabila COVID-19 tiba, sebagai majikan kami perlu menjaga kebajikan mereka,” katanya.

Menurutnya, pengalaman dalam dunia korporat membantu beliau dan rakan kongsi dari segi pengurusan risiko dan perancangan kewangan yang membolehkan mereka bertahan sepanjang penularan pandemik itu.

 “Sejak awal lagi kami mengamalkan pengurusan risiko dengan mewujudkan tabung kecemasan. Setiap bulan, sebahagian daripada hasil jualan akan disalurkan ke dalam dana tersebut. Kami memperuntukkan kira-kira lima peratus daripada jumlah jualan tahunan sebagai dana kecemasan. Contoh, jika jualan tahunan mencecah RM3 juta maka lima peratus daripadanya akan dimasukkan ke dalam tabung tersebut,”  katanya.

 

PEKERJA BUTA HURUF

 

Dalam dunia pekerjaan yang menuntut kemahiran literasi dan numerasi, mereka yang buta huruf pastinya berdepan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan. Namun, Sixty9 Islamic Steakhouse mengambil pendekatan berbeza.

 “Kami didatangi oleh tiga remaja yang memohon pekerjaan. Mereka datang dari Hulu Terengganu, Terengganu dan masih amat muda. Pada mulanya kami tidak ambil mereka bekerja kerana masih bawah umur, tetapi mereka datang semula dan merayu diberikan kerja.

“Ketika sesi temu duga barulah kami tahu yang mereka buta huruf walaupun ada yang sempat bersekolah hingga tingkatan empat. Saya tertanya-tanya bagaimana mereka hendak ambil pesanan pelanggan kalau dah tidak tahu menulis dan membaca? Namun mengenangkan latar belakang mereka yang datang daripada keluarga miskin, kami ambil keputusan untuk membantu,” katanya.

pic-5

Menurut Kamarulzaman, beliau kemudian meminta seorang daripada staf restoran membantu tiga remaja berkenaan mengenal huruf dan membaca.

“Pada masa sama, saya perasan seorang daripada mereka mempunyai daya ingatan luar biasa kerana mampu mengingati pesanan pelanggan. Apabila ditanya, dia jawab dia tahu pesanan kerana mengingati bentuk tulisan.

“Contoh, ‘ice lemon tea’, dia ingat tulisan yang membentuk perkataan itu dan kemudian dia sahkan pesanan dengan rakan sekerja. Dari situ kita tahu dia ada daya ingatan fotografik yang amat baik. Alhamdulillah, selepas diberikan bimbingan dan tunjuk ajar, ketiga-tiga mereka tahu membaca dan menulis,” katanya.

Menurutnya, dua daripada anak muda itu telah melangkah lebih jauh dalam kerjaya lain termasuk sebagai cef profesional, sementara seorang lagi kekal di Sixty9 Islamic Steakhouse sebagai penyelia kanan.

“Malah dia kini antara individu penting di dapur. Dia boleh memasak, menyediakan sos dan mengendalikan pelbagai tugasan lain,” katanya.

Pada masa sama, Kamarulzaman berkata beliau menggalakkan kesemua pekerjanya mempelajari pelbagai kemahiran agar mereka dapat melaksanakan lebih daripada satu tugas.

“Saya mahu semua kakitangan menjadi pekerja serba boleh. Mereka bukan sahaja mahir dalam tugas masing-masing malah mampu membantu di bahagian lain apabila diperlukan. Contohnya, pekerja yang mengendalikan minuman juga boleh membuat piza atau membantu di dapur.

“Jadi, apabila ada kakitangan yang bercuti atau tidak hadir bekerja, operasi restoran tetap berjalan lancar. Jika suatu hari nanti mereka mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik dengan gaji lebih tinggi, saya tidak halang (mereka bekerja di tempat lain). Malah saya berbangga kerana mereka berjaya meningkatkan taraf hidup hasil kemahiran yang dipelajari di sini,” tegasnya.

 

MENU ISTIMEWA

 

Mengenai menu, Kamarulzaman berkata mereka menawarkan hidangan barat berasaskan daging dan pasta serta salad dan sup dengan kesemua bahan asas hidangan seperti roti burger, daging burger, sos dan doh piza dibuat sendiri, sementara hidangan stik pula menggunakan daging import dari Argentina yang berkualiti premium.

Malah, restoran itu juga mempunyai kedai yang menjual produk sejuk beku sendiri.

Mengulas perancangan masa depan, Kamarulzaman berkata beliau terbuka untuk mengadakan usaha sama (JV)  jika ada pihak berminat, memandangkan konsep itu lebih adil bagi kedua-dua pihak yang berkongsi modal dan pemilikan syarikat secara sama rata. 

“Jika restoran itu rugi, saya turut rugi. Jika berjaya kedua-dua pihak mendapat manfaat. Saya tidak mahu hanya menjual nama atau jenama semata-mata tanpa terlibat secara langsung dalam operasi,” katanya yang tidak berhasrat melaksanakan konsep francais.

pic-4

Berdasarkan pengalamannya, Kamarulzaman menitipkan nasihat buat golongan muda yang ingin menceburi bidang F&B agar memperdalam ilmu sebelum membuka perniagaan kerana, minat dan kemahiran semata-mata tidak mencukupi.

“Ramai melihat perniagaan makanan sebagai sesuatu yang mudah tetapi realitinya tidak. Oleh sebab itulah kita lihat banyak kafe dan restoran yang dibuka tidak bertahan lama.

“Jika menjual pakaian, kita perlu tahu jenis kain dan kelebihannya. Begitu juga dalam perniagaan makanan. Kita mesti faham apa yang kita jual dan bagaimana ia dihasilkan,” katanya, menambah SOP yang jelas juga dapat memastikan kejayaan perniagaan yang dijalankan. 

“Usahawan perlu sentiasa turun padang dan memantau operasi. Jika terlalu bergantung pada orang lain tanpa pengawasan, pelbagai masalah boleh berlaku. Membuka dan mengurus restoran bukanlah sesuatu yang mudah tetapi dengan ilmu, disiplin dan kesungguhan, insya-Allah perniagaan mampu bertahan,” katanya yang kini menjadi usahawan sepenuh masa, dibantu 18 pekerja.

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan