POLITIK

MESKIPUN KELIHATAN TENANG DI PERMUKAAN, KESTABILAN JANGKA PANJANG PN MASIH MERAGUKAN

25/06/2026 11:28 AM

Oleh Sakini Mohd Said

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Meskipun ‘perang dingin’ penggunaan logo Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kelihatan reda selepas rundingan kerusi dimuktamadkan semalam, namun gencatan politik itu masih belum cukup untuk menjamin kestabilan jangka panjang gabungan itu. 

Penganalisis politik melihat kesepakatan saat akhir itu sebagai hubungan ‘retak menanti belah' - kosmetik politik semata-mata, meskipun kesemua parti komponen bersetuju bertanding di bawah satu nama dan logo rasmi menjelang pengumuman calon di Muar hari ini.

Bagi pemerhati politik yang ditemu bual Bernama, penyelesaian itu lebih menjurus kepada strategi menghadapi pilihan raya berbanding pendamaian menyeluruh terhadap perbezaan yang wujud, sekali gus memberi isyarat jelas bahawa isu keretakan dalaman PN masih jauh daripada tuntas.

Hakikat itu disandarkan kepada hubungan PAS dan Bersatu yang telah lama dibelenggu krisis kepercayaan susulan beberapa episod pertikaian termasuk kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis sebelum ini yang akhirnya membawa kepada PAS menamatkan kerjasama dengan parti Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik Dr Mazlan Ali berpandangan rakyat kini semakin matang dalam menilai perkembangan politik semasa, dan mampu membezakan antara kesepakatan yang dibina atas asas persefahaman tulen dengan persefahaman yang terhasil daripada keperluan politik menjelang pilihan raya.

“Rakyat sebenarnya semakin bijak menilai dan mereka tahu, kemelut yang berpanjangan antara PAS dan Bersatu sehingga ternoktahnya kerjasama bukanlah satu krisis yang boleh diselesaikan dalam masa sehari dua, tambahan pula pertikaian penggunaan logo yang memuncak antara mereka menjelang PRN.

“Biarpun dikatakan sudah selesai dan mereka gembira hasil rundingan diputuskan hari ini, namun saya jangkakan ia sekadar permainan politik pilihan raya, walhal imej gabungan itu sudah lama terjejas dengan perebutan kuasa dalaman berbanding menyuarakan isu rakyat,” katanya. 

Media melaporkan Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor berkata kesemua parti anggota asal gabungan itu, iaitu PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) akan bertanding menggunakan logo PN pada PRN Johor selain turut memperuntukkan kerusi kepada sekutu baharu mereka, Pejuang.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata kemelut berpanjangan itu mewujudkan keraguan dalam kalangan rakyat bukan sahaja di Johor dan Negeri Sembilan tetapi juga pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang akan keupayaan PN sebagai alternatif stabil kepada kerajaan sedia ada. 

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur itu berkata persepsi kestabilan merupakan faktor penting dinilai pengundi khususnya golongan atas pagar, yang lazimnya cenderung memilih gabungan yang dilihat mempunyai kepimpinan jelas dan hubungan dalaman kukuh.

“Bila dah pecah sekarang ini, orang atas pagar akan mula mencari pilihan yang mereka anggap lebih stabil. Dalam keadaan itu, mereka akan melihat kepada kestabilan kerajaan memerintah, Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH).

“Ini kerana, apabila keyakinan terhadap kesatuan sesebuah gabungan mula terhakis, ia akan memberikan kesan kepada kemampuan gabungan itu untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka mampu mentadbir dengan berkesan,” katanya.

Situasi yang membelenggu PN itu, menurut pemerhati politik Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani jauh berbeza dengan parti-parti dalam kerajaan yang dilihat lebih tersusun apabila berjaya memuktamadkan rundingan kerusi serta mengumumkan calon lebih awal.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Utara Malaysia (UUM) itu juga berpendapat kegagalan PN menyelesaikan isu asas, seperti pembahagian kerusi dan pencalonan bukan sahaja mencerminkan kelemahan pengurusan dalaman bahkan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kemampuan gabungan itu mentadbir.

Apatah lagi pentadbiran pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ini dilihat lebih tertumpu kepada agenda pembangunan dan pengukuhan ekonomi negara berbanding terheret pertikaian politik dalaman.

"Fokus negara ketika ini jelas terarah kepada usaha memajukan ekonomi dan impaknya sudah mula kelihatan. Antaranya, penurunan harga minyak diesel, prestasi ekonomi yang semakin baik, kemasukan pelaburan yang tinggi serta penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat.

"Sekiranya pentadbiran negara sedang berjalan dengan lancar, mengapa perlu kita memilih parti yang mempunyai masalah dalaman? Mengapa mahu beralih kepada parti yang belum tentu dapat mentadbir negara dengan baik?," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan