AM

MALAYSIA HASILKAN 135.29 TAN METRIK BAWANG MERAH KECIL SEPANJANG 2024-2025 - MOHAMAD 

25/06/2026 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Malaysia berjaya menghasilkan sejumlah 135.29 tan metrik bawang merah kecil sepanjang 2024 hingga 2025 dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan import tanaman tersebut, demikian Dewan Rakyat diberitahu hari ini. 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata hasil itu dicapai menerusi kawasan penanaman seluas 155.29 hektar di seluruh negara dalam usaha untuk meningkatkan kadar sara diri (SSR) bawang merah kecil kepada 30 peratus menjelang 2030 bagi menjamin keselamatan makanan negara.

Beliau berkata Pada 2025, Selangor merupakan negeri paling aktif dalam pembangunan industri bawang merah kecil dengan keluasan tanaman 40 hektar, diikuti Kelantan (30.85 hektar), Perak (28 hektar), Terengganu (satu hektar) dan Perlis (satu hektar).

“Pelaksanaan ini (pembangunan industri bawang) memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan pengeluaran yang berpotensi, penggunaan varieti yang sesuai dengan persekitaran tempatan, serta penerapan teknologi dan amalan pertanian moden bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil. 

“Pembangunan ini akan diteruskan pada 2026 dengan melibatkan tambahan kawasan penanaman seluas 61.18 hektar,” katanya ketika menjawab soalan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini. 

Mohamad berkata bagi memperkukuh usaha itu, Jabatan Pertanian menyediakan insentif kepada petani melalui Program Pembangunan Industri Bawang di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026-2030, melibatkan bantuan sebanyak RM50,000 bagi setiap hektar dengan had maksimum dua hektar.

Katanya, bantuan itu melibatkan skop projek pembangunan dan pengukuhan infrastruktur ladang dan aktiviti pengeluaran, penyediaan bahan dan input pertanian bagi aktiviti ladang, pembekalan mesin, jentera dan peralatan ladang, serta pengeluaran benih bawang merah berkualiti oleh Insititut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Menjawab soalan tambahan Roslan mengenai usaha untuk menghasilkan bawang besar atau bawang putih, Mohamad berkata kerajaan turut meneliti potensi tersebut, namun ia memerlukan kajian lebih mendalam kerana kedua-dua tanaman tersebut memerlukan keadaan persekitaran yang berbeza berbanding bawang merah kecil.

Beliau berkata faktor iklim khususnya keperluan kawasan yang lebih kering menjadi antara aspek utama yang perlu diteliti sebelum penanaman dapat diperluaskan secara komersial. 

"Dengan perubahan cuaca sekarang, kawasan yang lebih kering itu mungkin lebih sesuai untuk tanaman bawang putih pada masa akan datang, namun ia bergantung kepada penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian dan MARDI. Usaha ini masih baharu dan banyak melibatkan percubaan, penyelidikan serta pembangunan teknologi.

“Antara faktor penting yang dikenal pasti ialah kesesuaian tanah, khususnya tanah yang mengandungi kira-kira 30 peratus pasir. Tanah seperti ini banyak terdapat di Pantai Timur dan beberapa kawasan lain,” kata Mohamad. 

Beliau berkata kos pengeluaran bawang masih tinggi dengan anggaran purata sekitar RM4.50 sekilogram, namun petani masih berpotensi memperoleh keuntungan sekiranya hasil dapat dijual pada harga yang lebih tinggi daripada kos pengeluaran.

-- BERNAMA

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan