KUANTAN, 25 Jun (Bernama) -- Kira-kira 10,000 peserta menyertai program MILO Malaysia Breakfast Day 2026 di Padang MBK 1 di sini baru-baru ini yang mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik bagi menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan ahli keluarga.
Program yang dianjurkan secara santai itu menarik perhatian pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak, remaja dan warga emas yang hadir bersama keluarga masing-masing.
Peserta Hisham Ab Rahman, 60, berkata penyertaan dalam aktiviti riadah seperti larian keluarga bukan sahaja memberi manfaat kepada kesihatan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan hubungan antara ahli keluarga.
“Kami ada tiga generasi yang menyertai program ini, lapan orang termasuk anak-anak dan cucu. Ada anak saya yang datang dari Kuala Lumpur dan Putrajaya manakala kami di Kuantan,” katanya kepada Bernama.
Beliau yang juga pengarah bebas sebuah syarikat berkata walaupun larian itu bersifat santai, pengalaman dapat berkumpul dan melakukan aktiviti bersama keluarga menjadikannya satu kenangan istimewa yang sukar ditukar ganti.
Hisham turut berharap lebih banyak program berorientasikan keluarga dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat serta memperkukuh institusi kekeluargaan.
Nestlé (Malaysia) Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan Pahang merupakan lokasi keempat penganjuran program berkenaan selepas Sabah, Terengganu dan Sarawak.
Selain larian santai sejauh tiga kilometer, program berkenaan turut dimeriahkan dengan zon aktiviti interaktif, permainan pentas, cabaran kecergasan serta aktiviti mesra keluarga.
MILO Malaysia Breakfast Day 2026 akan meneruskan jelajahnya ke Kelantan pada 27 Jun ini sebelum menutup siri penganjuran tahun ini di Putrajaya pada 12 Julai.
-- BERNAMA
