KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan memberi jaminan bahawa kebajikan dan hak petugas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) kekal terpelihara dalam fasa peralihan skim perkhidmatan baharu di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bermula 1 Julai.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata tiada pegawai yang akan terjejas dari segi kenaikan pangkat, kekananan, faedah persaraan dan kebajikan sekiranya memilih untuk kekal dalam skim asal di agensi masing-masing.
Beliau berkata AKPS, yang ditubuhkan hasil penggabungan beberapa agensi penguatkuasaan, berperanan menyelaras kawalan keluar masuk manusia dan barangan di 122 pintu masuk negara yang sah.
“Perjawatan AKPS diisi melalui kaedah pengkaderan daripada agensi-agensi teras tersebut sebelum pelaksanaan skim perkhidmatan baharu. Bagi pegawai yang tidak menerima opsyen pertukaran lantik, mereka akan kekal di AKPS secara interim tertakluk kepada kaedah penempatan yang ditetapkan oleh JPA.
“Pegawai berkenaan juga boleh dikembalikan ke jabatan asal masing-masing, dengan penempatan ditentukan oleh ketua perkhidmatan asal berdasarkan kekosongan jawatan serta lain-lain ketetapan mengikut keperluan perkhidmatan,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Shamsul Anuar berkata demikian sebagai menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) berkenaan kestabilan institusi penguatkuasaan dan kebajikan ribuan penjawat awam susulan penubuhan AKPS.
Beliau berkata sehingga 19 Jun, sebanyak 6,824 daripada 8,403 jawatan yang diperuntukkan kepada AKPS telah diisi, manakala 1,579 jawatan masih kosong.
Katanya, kekosongan itu sedang diisi secara berperingkat melalui kerjasama AKPS, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi terlibat.
Pelantikan ke APKS menawarkan insentif tertentu termasuk kenaikan gaji tahunan (KGT) tambahan serta insentif perkhidmatan RM200, bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan di pintu masuk negara berada pada tahap optimum.
-- BERNAMA
