GOPENG, 25 Jun (Bernama) -- Penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Ulu Geruntum di sini berharap pembinaan semula jambatan yang menghubungkan penempatan mereka dapat disegerakan selepas kedua-dua jambatan utama kampung itu runtuh akibat kejadian kepala air pada 19 Jun lepas.
Seorang penduduk Wak Nanten Bah Bulu, 67, berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4.30 petang itu adalah pengalaman pertama dialaminya sepanjang lebih enam dekad menetap di kampung berkenaan.
Wak Nanten berkata ketika kejadian, beliau dan adiknya Cheket Bah Bulu, 57, sedang memasak sebelum didatangi anak saudara mereka Ewan Bah Jusin, 30, yang memaklumkan air sungai dari kawasan hulu telah mula melimpah akibat fenomena kepala air.
“Ewan turun bawa motosikal dulu dan bila saya dengar sahaja terus turun bawa motosikal juga bersama Cheket dan sampai di selekoh rumah bila saya toleh ke belakang, air deras sudah mengikut dari belakang.
“Pada masa itu, saya hanya ingat Tuhan dan menyangka saya akan mati, namun mujurlah saya berjaya turun ke kawasan bawah kampung. Ketika itu air sangat deras dan membawa batang-batang pokok besar,” katanya ketika ditemui Bernama di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bandaran Gopeng.
Wak Nanten berkata rumahnya yang terletak kira-kira 20 meter dari Sungai Ulu Geruntum tidak mengalami kerosakan serius, namun kawasan halaman rumah ditenggelami air.
Beliau berkata kejadian kepala air itu turut menyebabkan kedua-dua jambatan yang menjadi laluan utama penduduk runtuh, termasuk jambatan gantung pejalan kaki dan jambatan yang digunakan setiap hari.
Sementara itu, Cheket berkata penduduk tidak menyedari ancaman sebenar kerana paras air sungai pada awalnya kelihatan seperti biasa walaupun hujan.
“Kami nampak air semakin besar tetapi tidak sangka ia akan menjadi kepala air. Apabila air datang, arusnya sangat deras dan warna air juga berubah.
“Kami memang tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini, namun kami bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa yang dilaporkan,” katanya yang juga antara lebih 51 mangsa daripada 16 keluarga yang ditempatkan di PPS itu selepas kampung mereka terputus hubungan susulan kejadian berkenaan.
Cheket berkata setakat ini penduduk hanya dimaklumkan mengenai cadangan pembinaan jambatan sementara, namun belum menerima maklumat lanjut mengenai tempoh pelaksanaannya.
Kejadian kepala air pada 19 Jun lepas menyebabkan kedua-dua jambatan di KOA Ulu Geruntum runtuh, sekali gus menjejaskan akses keluar masuk penduduk kampung berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Sandrea Ng Shy Ching ketika dihubungi berkata permohonan pembinaan semula jambatan sementara itu telah dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan segera.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja berkata pembinaan jambatan itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua minggu selepas mendapat kelulusan dan segala urusan berkaitan dapat diselaraskan.
“Jambatan sepanjang kira-kira 24 meter itu akan dibina menerusi kerjasama antara penduduk kampung, Pejabat Daerah dan Tanah Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi memulihkan semula akses utama penduduk yang terjejas,” katanya.
Ng berkata kerajaan negeri sedang meneliti keperluan peruntukan yang bersesuaian dan perkara itu akan dipertimbangkan oleh pihak berkaitan sebelum diberikan kelulusan.
Dalam pada itu, beliau berkata semua penduduk yang terjejas akan terus ditempatkan di PPS berkenaan sehingga keadaan kediaman serta kemudahan asas di kawasan terlibat pulih sepenuhnya.
-- BERNAMA
