AM

LEGASI TANAMAN KACANG, JAGUNG JADI SUMBER REZEKI DUA BERADIK WARGA EMAS

28/06/2026 09:10 AM

Oleh Mohd Noor Iqram Rosli

KUALA KRAI, 28 Jun (Bernama) -- Kegigihan dua beradik warga emas meneruskan legasi tanaman kacang tanah dan jagung yang ditinggalkan oleh nenek moyang mereka di Kampung Jelutar, di sini sejak 30 tahun lepas, menjadi sumber pendapatan utama keluarga hingga hari ini.

Kamariah Sidik, 67, berkata tanah peninggalan moyangnya seluas kira-kira 0.2 hektar sudah memadai untuk dia dan abangnya Azmi Sidik, 69, mengusahakan tanaman berkenaan dan menjualnya kepada orang ramai dengan harga yang berpatutan.

"Tanam kacang dan jagung ini tidak terlalu susah dan rumit, kita cuma perlu pastikan baja mencukupi dan kena tengok rumput yang tumbuh di sekeliling tanaman tersebut, kalau ada rumput kita cabut dan buang.

"Macam kacang tanah ini, tiga bulan 10 hari dah boleh dapat hasil, manakala jagung pula kita ambil masa kira-kira dua bulan setengah," katanya kepada Bernama, baru-baru ini. 

Bercerita lanjut, Kamariah berkata antara masalah yang dihadapi mereka ketika mengusahakan tanaman ini ialah ancaman haiwan dan serangga perosak seperti ulat, semut dan tikus.

"Seawal 7 pagi saya dan abang sudah mula bercucuk tanam sehingga selesai kira-kira pukul 11 pagi memandangkan cuaca panas ketika itu, malah anak-anak juga turut membantu kami mengusahakan tanaman ini.

"Saya jual kacang tanah ini pada harga RM7 sekilogram, manakala jagung pula RM1 setongkol. Alhamdulillah, rezeki yang kami peroleh ini dapatlah menampung perbelanjaan harian," katanya sambil menambah pendapatannya tidak menentu kerana mengikut keadaan semasa hasil tanaman tersebut.

Sementara itu, Azmi berkata apabila tiba musim kemarau, antara masalah yang sering dihadapi mereka ialah kekurangan sumber bekalan air.

"Tanaman kami ini memang berdekatan dengan sungai, tetapi apabila musim kemarau sungai jadi cetek sehingga menyukarkan kami memperoleh air.

"Jadi, saya harap kalau boleh ada pihak bertanggungjawab bantu kami beri subsidi untuk dapatkan enjin pam air, mesin rumput dan baja kerana secara tidak langsung ia dapat mengurangkan perbelanjaan kami membeli barangan tersebut," katanya.

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan