Oleh Muhammad Saufee Rosman
JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Di tengah-tengah kawasan pusat bandar bersejarah Johor Bahru, udara di sepanjang Jalan Dhoby dipenuhi aroma tersendiri yang membangkitkan nostalgia, iaitu gabungan bau kayu getah yang dibakar dan pisang yang sedang melalui proses karamel.
Dibina pada 1919, kedai bakeri itu menjadi antara tarikan warisan di bandar raya berkenaan, sekali gus menarik kehadiran pengunjung dari seluruh Malaysia, selain Singapura, China, Taiwan, Jepun dan Korea Selatan.
Ketika dunia luar telah menggantikan relau tradisional dengan ketuhar putaran elektrik, Hiap Joo Bakery terus mengekalkan penggunaan ketuhar kayu api yang berusia lebih satu abad.
Ketuhar gergasi yang dibina daripada batu bata dan resipi keluarga yang dijaga rapi selama tiga generasi telah menjadikan perniagaan keluarga berkenaan sebagai destinasi warisan bertaraf antarabangsa selama lebih 100 tahun.
Diasaskan sejurus selepas Perang Dunia Pertama oleh tujuh pendatang berketurunan Hainan, kedai bakeri itu kini diuruskan oleh pengurus berusia 38 tahun, Joseph Lim Toh Hui bersama abang sulungnya, datuk mereka adalah antara pengasas kedai bakeri berkenaan.
“Semasa Perang Dunia Kedua, pemegang saham yang lain tidak kembali untuk mengambil alih perniagaan itu, menyebabkan datuk saya meneruskannya secara bersendirian. Sejak itu, perniagaan ini kekal dalam keluarga kami,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Lim ketika mengimbas zaman kanak-kanaknya di kedai bakeri itu berkata beliau melihat datuknya menguli doh menggunakan tangan di atas meja kayu yang besar sebelum mempelajari kemahiran itu.
Kini, kedai bakeri itu menggaji antara 15 hingga 20 pekerja, selain terus mengekalkan proses pembakaran tradisional menggunakan ketuhar kayu api yang sama.
“Ramai menyangka kami membakar roti secara terus di atas api. Sebenarnya, kami membakar kayu untuk memanaskan ketuhar. Apabila suhu mencapai tahap yang sesuai, kami membakar roti menggunakan haba yang tersimpan. Apabila suhu mula menurun, barulah kami membakar kek.
“Tiada rahsia. Ia adalah kaedah yang diwarisi daripada datuk saya,” katanya.
Pada awalnya, kedai bakeri hanya menghasilkan roti untuk dihantar ke kedai kopi di sekitar Johor Bahru, namun Hiap Joo Bakery & Biscuit Factory memperluaskan pengeluaran kepada kek pada awal 2000-an selepas mendapat permintaan daripada pelanggan muda.
Kedai bakeri itu menjual roti bun kelapa, kismis, kacang, kaya, gula dan pedas pada harga RM6 sebungkus, selain kek pisang berharga RM13 serta kek mentega dan kek kopi yang dijual pada harga RM16 setiap satu.
“Kek pisang antara produk paling laris kami pada masa ini,” kata Lim, sambil memaklumkan kedai bakeri itu menghasilkan antara 800 hingga 1,000 produk setiap hari bagi memenuhi permintaan.
Walaupun keluarga itu memiliki beberapa hartanah lain, Lim berkata memindahkan kedai bakeri itu tidak pernah menjadi pilihan kerana ketuhar bersejarah itu menjadi identiti utama perniagaan mereka.
“Ketuhar itu adalah perkara yang paling penting. Kami berharap suatu hari nanti dapat membeli premis ini kerana ketuhar pembakaran kayu api itu berada di sini. Kami mahu generasi akan datang terus melihat ketuhar ini serta menikmati roti serta kek dengan rasa yang sama,” katanya.
Sementara itu, pelanggan setia Kuldip Singh, 65, berkata beliau menjadi pelanggan tetap kedai bakeri itu sejak zaman persekolahan di Johor Bahru.
“Ia lembut, anda benar-benar dapat merasai rasa pisangnya dan kualitinya kekal sama sejak kira-kira 50 tahun lepas,” katanya, sambil menambah walaupun kos sara hidup semakin meningkat, kedai bakeri itu masih menawarkan produknya pada harga berpatutan.
-- BERNAMA
