AM

PERLU USAHA KOLEKTIF UNTUK WUJUD PERSEKITARAN SELAMAT WANITA - LEE LAM THYE

28/06/2026 12:26 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Mewujudkan persekitaran lebih selamat bagi wanita bukan hanya tanggungjawab golongan itu, sebaliknya memerlukan usaha kolektif daripada golongan lelaki, keluarga, majikan, sekolah, organisasi komuniti dan pihak berkuasa. 

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata ruang awam yang selamat, kepolisan yang berkesan, lampu jalan lebih baik, liputan televisyen litar tertutup (CCTV) dan tindakan pantas terhadap pesalah menyumbang kepada usaha menjadikan wanita berasa lebih selamat.

“Wanita hari ini berhadapan dengan pelbagai bentuk jenayah. Antara kesalahan sering berlaku ialah jenayah jalanan seperti ragut dan samun, gangguan seksual di tempat awam, tempat kerja serta pengangkutan awam serta intai siber (cyberstalking) melalui media sosial.

“Selain itu, mereka juga berhadapan dengan keganasan rumah tangga dan penderaan oleh pasangan, penipuan termasuk secara dalam talian, cinta (love scams) dan kewangan, kecurian identiti, eksploitasi seksual dalam talian serta peras ugut melibatkan foto atau video peribadi selain kes minuman dicampur bahan terlarang dan serangan seksual,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita memainkan banyak peranan penting dalam masyarakat sebagai ibu, anak perempuan, isteri, golongan profesional, usahawan, pelajar dan pemimpin komuniti berhak untuk hidup, bekerja, bergerak serta menikmati ruang awam tanpa rasa takut.

Lee berkata walaupun agensi penguatkuasaan undang-undang mempunyai tanggungjawab penting untuk memastikan komuniti selamat, pencegahan jenayah menjadi tanggungjawab semua pihak.

“Kesedaran antara bentuk perlindungan paling kuat yang kita miliki,” katanya. 

Beliau berkata banyak daripada jenayah tersebut boleh dicegah atau risikonya dapat dikurangkan melalui kesedaran, kewaspadaan dan kesiapsiagaan yang lebih tinggi.

Pencegahan jenayah, menurut beliau bermaksud mengetahui kaedah mengenal pasti situasi yang mencurigakan, melindungi maklumat peribadi dalam talian, mengamalkan tabiat perjalanan yang selamat, melaporkan gangguan lebih awal dan saling menjaga antara satu sama lain.

“Ia bukan tentang hidup dalam ketakutan, tetapi menjadi peka, berwaspada dan yakin,” katanya.

Lee juga menggesa orang ramai untuk terus mendidik, memperkasakan dan menggalakkan wanita supaya bersuara menentang jenayah dan keganasan sambil bersama-sama membina komuniti yang berkongsi nilai hormat, keselamatan dan prihatin.

“Kita boleh menjadikan rumah, tempat kerja, jalan raya dan ruang digital lebih selamat untuk setiap orang secara bersama-sama,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan