AM

TIGA FASILITI KOMUNITI BAHARU TINGKAT AKSES PERKHIDMATAN PENDUDUK SERKAM

28/06/2026 06:05 PM

JASIN, 28 Jun (Bernama) -- Penduduk dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam kini dapat menikmati akses kepada kemudahan kesihatan, kebajikan dan pemulihan dengan lebih selesa menerusi pembukaan tiga fasiliti komuniti baharu di kawasan itu hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kemudahan tersebut membabitkan Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti MADANI, Perkhidmatan Lokar Ubat dan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nur Ehsan yang diwujudkan bagi mendekatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

"Pusat Rehabilitasi dan Gimnasium Komuniti DUN Serkam dibangunkan bagi menyediakan perkhidmatan pemulihan kepada masyarakat, khususnya individu yang memerlukan rawatan susulan selepas menerima rawatan di hospital atau klinik.

"Melalui Geran UniMADANI 2024, sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi penyediaan peralatan rehabilitasi serta kemudahan asas gimnasium,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Fasiliti Komuniti sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Serkam di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam Datuk Zaidi Attan.

Ab Rauf berkata pusat berkenaan akan dikendalikan oleh petugas Jabatan Kesihatan Negeri Melaka dengan sokongan Paramedik Komuniti (PARAKOM) bagi memastikan pengguna menerima bimbingan, pemantauan dan perkhidmatan pemulihan yang terbaik.

Beliau berkata pusat rehabilitasi itu turut menyediakan Perkhidmatan Lokar Ubat yang membolehkan pesakit mendapatkan bekalan ubat mengikut tarikh temu janji tanpa perlu menunggu atau beratur di kaunter farmasi.

"Kemudahan ini juga boleh dimanfaatkan oleh pesakit Klinik Kesihatan Umbai dan Klinik Kesihatan Merlimau, selain menjadikan Serkam sebagai DUN pertama di Melaka yang memperluas pelaksanaan Perkhidmatan Lokar Ubat melalui sebuah pusat rehabilitasi komuniti," katanya.

Dalam pada itu Ab Rauf berkata PDK Nur Ehsan yang memberi tumpuan kepada pemulihan, latihan dan pembangunan potensi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mula beroperasi di lokasi baharu di Serkam sejak Mei 2025 selepas berpindah dari Taman Pulai Indah, Merlimau dan kini menempatkan 21 pelatih yang mengikuti latihan serta program pemulihan secara berterusan.

Beliau berkata Melaka kini mempunyai 18 PDK yang disokong oleh 95 petugas, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan RM4.41 juta bagi menyokong pelaksanaan program itu di seluruh negeri yang memberi manfaat kepada lebih 500 peserta OKU.

"Daripada jumlah itu, lebih RM166,000 diperuntukkan khusus bagi menyokong operasi dan keperluan PDK Nur Ehsan," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan terus melaksanakan pelbagai program dan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat bagi memastikan penyampaian perkhidmatan terus memenuhi keperluan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan