Oleh Muhammad Saufee Rosman
KOTA TINGGI, 28 Jun (Bernama) -- Kecekalan dan prinsip perjuangan kental Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi “tonik” utama dalam menyuntik keberanian calon Pakatan Harapan (PH), Danish Hossman Abd Rahman untuk menceburi bidang politik seawal usia 23 tahun.
Danish Hossman yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 dan merupakan calon termuda pilihan raya itu menyifatkan Pengerusi PH berkenaan sebagai “kompas” politiknya yang kekal istiqamah membela nasib rakyat meskipun diasak pelbagai badai ujian.
“Sejujurnya idola saya cuma seorang sahaja dalam politik ini, Datuk Seri Anwar. Kita tengok kerjaya politik beliau daripada mula adalah untuk memperjuangkan hak-hak rakyat sehingga dibuang jawatan dan dipenjarakan.
“Saya datang pada zaman ekonomi lebih stabil dan ringgit semakin baik. Saya tidak rasa kesusahan dilalui beliau tetapi saya sangat menghormati beliau yang bertahan selama puluhan tahun demi memperjuangkan rakyat,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di sini hari ini.
Penuntut Ijazah Sarjana Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) itu berkata minatnya terhadap dunia politik bukan muncul secara tiba-tiba, sebaliknya berakar umbi daripada latar belakang keluarga yang aktif dalam bidang berkenaan sejak dia dibangku sekolah.
“Saya lahir dalam keluarga politik. Datuk saya ketua UMNO, manakala bapa saya Ketua Cabang PKR Pontian selama 10 tahun. Saya dibesarkan dalam suasana yang sentiasa didedahkan mengenai politik, ekonomi dan masalah rakyat. Dari situlah timbulnya minat saya untuk menceburi politik,” katanya.
Danish Hossman yang juga Setiausaha Cabang PKR Pontian dan Anggota Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor berkata dia tidak menyertai politik untuk mengejar nama atau jawatan, sebaliknya mahu berkhidmat kepada rakyat.
Anak sulung daripada lima beradik itu bukan asing dalam kerja kemasyarakatan, malah telah lama mengasah bakat kepimpinan menerusi pembabitan aktif dalam pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di peringkat negeri.
Mengulas mengenai skeptisisme segelintir pihak terhadap faktor usianya, Danish Hossman menganggap perkara itu bukan penghalang, sebaliknya satu kelebihan untuk membawa dimensi dan perspektif baharu yang lebih inklusif.
“Idea baharu kita boleh berikan, pengalaman yang lama kita boleh bawa tetapi apa-apapun matlamat utama kita ialah menjadi seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang bekerja dan mendengar isu rakyat. Itu yang penting,” katanya.
Danish Hossman berdepan saingan tiga penjuru menentang penyandang kerusi DUN Johor Lama, Norlizah Noh daripada Barisan Nasional (BN) serta calon Perikatan Nasional (PN), Aisah Esa pada 11 Julai ini.
Meskipun sedar bertembung dengan nama besar di DUN Johor Lama, Danish Hossman sedikit pun tidak gentar, malah optimis bahawa landskap pemikiran pengundi kini sudah berubah dan lebih matang dalam menilai maklumat yang diperoleh.
Perkembangan teknologi dan akses maklumat yang pantas, katanya membolehkan rakyat di DUN Johor Lama menilai sendiri prestasi serta tawaran setiap parti secara objektif.
“Sekarang zaman Internet, mereka boleh mencari sendiri maklumat dan melihat sendiri perkembangan di luar. Mereka boleh menilai mana yang baik dan mana yang tidak.
“Insya-Allah Pakatan Harapan masih ada harapan di sini dan saya akan bertemu seramai mungkin pengundi untuk mendengar sendiri masalah mereka,” katanya.
PRN Johor akan berlangsung pada 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
