JOHOR BAHRU, 29 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tiga kertas siasatan berkaitan perbuatan khianat dan cubaan khianat yang mempunyai kecenderungan menghasut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 setakat ini.
Ketua Polis Johor Datuk AB Rahaman Arsad berkata dua daripada kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat dengan api atau bahan letupan, dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Beliau berkata satu lagi kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana melakukan atau cuba melakukan perbuatan, yang mempunyai kecenderungan menghasut serta penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
“Secara keseluruhan sejak hari penamaan calon pada Sabtu lepas sehingga semalam, kami telah menerima tujuh laporan polis berkaitan PRN Johor.
“Polis Johor terus mempertingkatkan kawalan keselamatan serta pemantauan pada semua daerah pilihan raya bagi memastikan setiap proses berjalan lancar, teratur dan selamat. Sehingga kini, tiada insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ab Rahaman berkata situasi keselamatan sepanjang PRN Johor aman dan terkawal dengan sebanyak 3,903 petugas melibatkan 544 pegawai, 3,247 anggota dan 112 orang pegawai awam telah diatur gerak bagi menjaga ketenteraman.
Beliau berkata semua aktiviti politik dan kempen setakat ini berlangsung dalam keadaan harmoni hasil pemantauan serta kawalan berterusan pihak polis.
“Kita turut mempergiatkan pemantauan dalam platform media sosial serta bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi menangani penyebaran berita palsu, maklumat tidak sahih, serta kandungan berunsur hasutan atau provokasi yang boleh menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak supaya terus menghormati undang-undang serta mengamalkan kematangan berpolitik termasuk tidak melakukan sebarang provokasi, tidak menyebarkan berita palsu atau maklumat yang belum disahkan.
Mengenai aliran trafik, Ab Rahaman berkata keadaan lalu lintas pada semua lokasi berkaitan pilihan raya dilaporkan lancar dan terkawal.
PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.
-- BERNAMA
